BEIJING, 4 SEPT – Penggubal undang-undang tertinggi China, Li Zhanshu akan mengadakan kunjungan ke Rusia minggu depan, lapor media kerajaan hari ini, menjadi ahli politik tertinggi Parti Komunis yang melawat negara itu sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Beijing dan Moscow semakin rapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, meningkatkan kerjasama sebagai sebahagian daripada apa yang mereka panggil hubungan ‘tanpa had’, bertindak sebagai pengimbang kepada dominasi global Amerika Syarikat.
Sementara itu, ketegangan antara China dan Barat telah meningkat ketika Beijing enggan mengecam serangan Moscow ke atas Ukraine selain memberi perlindungan diplomatik dengan membidas sekatan Barat dan penjualan senjata kepada Kyiv.
Li, yang menduduki tempat ketiga dalam hierarki kerajaan China, akan membuat lawatan rasmi ke Rusia, Mongolia, Nepal dan Korea Selatan bermula Rabu hingga 17 September, menurut agensi berita rasmi Xinhua.
Beliau akan menghadiri Forum Ekonomi Timur yang akan diadakan selama empat hari mulai Isnin di bandar Vladivostok di Rusia. – AFP