Pemimpin pendidikan fahami peranan SHENA

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), kelmarin, telah mengadakan acara sosialisasi bertajuk ‘Better Safe than Sorry, The Shena Story’ bagi pemimpin-pemimpin institusi pendidikan di seluruh negara.

Lebih 200 orang pemimpin institusi pendidikan telah menghadiri acara berkenaan yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, menurut kenyataan yang dikeluarkan SHENA.

Kenyataan menjelaskan, acara berkenaan adalah sebahagian daripada program outreach berterusan SHENA untuk melibatkan pihak berkaitan serta orang awam dalam mencapai misinya untuk menjadikan Brunei Darussalam tempat yang selamat untuk bekerja dan hidup.

Antara objektifnya adalah untuk menyediakan pemahaman lebih mendalam mengenai peranan dan fungsi SHENA terutamanya bagi institusi pendidikan dan pemahaman mengenai kepentingan mengekalkan tahap tinggi kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) di tempat kerja dalam sektor atau industri berlainan.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengetengahkan peranan dan tanggungjawab para pemimpin institusi dalam memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan dan pelajar, untuk menyediakan gambaran mengenai undang-undang pematuhan dalam membangunkan Brunei yang lebih selamat termasuk proses lawatan pemeriksaan dan pemantauan serta untuk menyediakan pemahaman lebih mendalam mengenai sistem pengurusan keselamatan di institusi pendidikan.

Pemimpin-pemimin institusi pendidikan mendengarkan taklimat yang disampaikan. – Gambar serahan SHENA