Pemimpin pertama Mesir pasca Mubarak meninggal dunia

KAHERAH, 21 SEPT – Mohammed Hussein Tantawi, bekas ketua junta tentera yang memerintah Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan ketika Kebangkitan Arab atau Arab Spring, meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Kematian Tantawi diumumkan Presiden Abdel Fattah al-Sisi menerusi kenyataan, selain menyifatkan Allahyarham sebagai anak Mesir paling setia.

“Beliau mengabdikan dirinya untuk berkhidmat kepada negara lebih separuh abad. Beliau adalah negarawan yang bertanggungjawab mengemudi negara pada waktu sukar,” menurut kenyataan itu.

Al-Sisi juga mengumumkan tempoh berkabung di atas kematian pemimpin terbabit, namun tidak memperincikan jumlah harinya.

Media tempatan yang menyiarkan berita kematian Tantawi menyifatkan beliau sebagai seorang yang memberikan sepenuh jiwa raganya kepada negara.

Delegasi Kesatuan Eropah (EU) turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergiannya menerusi kenyataan di Twitter. – AFP

Gambar fail menunjukkan Presiden Mesir Hosni Mubarak (kiri) berjabat tangan dengan Jeneral Hussein Tantawi di Kaherah. – AFP