Pemimpin Sabah, Sarawak digesa sepakat

KOTA KINABALU, 14 April – Kecewa dengan kegagalan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan, Majlis Belia Sabah menggesa pemimpin Sabah dan Sarawak sepakat dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain memastikan pendirian mereka adalah demi kepentingan rakyat, bukan untuk kelangsungan politik.

Timbalan Presidennya Abqaree Fawwaz Abekan berkata walaupun cadangan pindaan Perkara 1(2) itu gagal mendapat sokongan dua pertiga anggota Parlimen, pemimpin Sabah dan Sarawak masih mempunyai peluang untuk mengubah keadaan demi mengembalikan status kedua-dua negeri sebagai rakan kongsi sama tara dengan Semenanjung.

“Wakil rakyat Sabah dan Sarawak di Parlimen perlu berpendirian teguh dalam perjuangan mengembalikan hak kedua-dua negeri tanpa mengira fahaman dan blok politik kerana setiap keputusan yang dibuat akan mempengaruhi masa depan negeri dan yang akan menerima akibatnya tentulah generasi muda,” katanya kepada Bernama, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata pindaan yang dibuat itu juga harus lebih jelas dan terperinci agar mendapat sokongan semua pihak.

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Selasa lepas dalam usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti mana yang termaktub dalam MA63, namun RUU itu gagal menerima undi dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan.

Hanya 138 anggota Parlimen menyokong manakala 59 termasuk wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak tidak mengundi.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Tawau Andy Mohd Suryadi Bandi berharap kegagalan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan tersebut tidak akan mematahkan semangat kerajaan negeri untuk memperjuangkan hak Sabah.

Katanya sebagai golongan muda, mereka ingin melihat perkembangan positif berhubung pelaksanaan MA63 dan berharap pihak yang berkenaan dapat mencapai titik pertemuan bagi merealisasikan impian belia di kedua-dua negeri.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kunak Bahri Lakile pula menyifatkan tindakan anggota Parlimen tidak mengundi sebagai merugikan dan mengecewakan rakyat.

“… sepatutnya mereka memiliki pendirian jelas terhadap perkara dibincangkan di Parlimen. Pendekatan diambil mereka ketinggalan zaman dan mengkhianati amanah serta hasrat rakyat,” katanya. – Bernama