Pemimpin tertinggi Korea Utara kembali ke Pyongyang

PYONGYANG, 5 Mac – Pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un telah kembali ke Pyongyang pada awal pagi hari ini selepas berkunjung ke Vietnam, lapor agensi berita China Xinhua memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Pegawai kanan Parti Pekerja Korea (WPK), kerajaan dan angkatan bersenjata menghadiri majlis menyambut ketibaan beliau di stesen kereta api Pyongyang, menurut KCNA.

Semasa berada di Vietnam, Kim mengadakan rundingan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Hanoi pada 27 dan 28 Februari sebelum mengadakan lawatan rasmi muhibah dua hari ke Vietnam, yang berakhir pada Sabtu.

Semasa sidang kemuncak Kim-Trump, kedua-dua pemimpin ‘telah secara konstruktif dan spontan bertukar-tukar pendapat berkaitan isu praktikal yang timbul daripada usaha membuka era baharu dalam peningkatan hubungan Korea Utara-AS atas dasar kemajuan,” lapor KCNA.

Mereka membincangkan pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea dan isu dua hala tanpa menandatangani sebarang perjanjian, namun kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk meneruskan proses damai di semenanjung itu. Semasa lawatannya ke Vietnam, Kim bertemu Presiden Nguyen Phu Trong dan Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc.

Kedua-dua pihak membincangkan perkembangan lanjut hubungan mesra dan kerjasama antara Korea Utara dan Vietnam, lapor KCNA. – Bernama