Pemimpin Ukraine ‘yakin’ IMF luluskan bantuan

KIEV, 22 FEB – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky hari ini mengatakan beliau ‘yakin’ Tabung Kewangan Antarabangsa akan memberi kelulusan bantuan kepada negaranya tahun ini, walaupun mengakui tidak setuju dalam perbincangan dengan pemberi pinjaman.

IMF pada Jun lalu meluluskan kredit AS$5 bilion dengan pembayaran segera sebanyak AS$2.1 bilion (1,73 bilion euro) untuk membantu bekas negara Soviet itu memerangi wabak koronavirus. “Kami bergantung kepada wang ini,” kata Zelensky kepada wartawan hari ini.

Pakar mengatakan bahawa sangat penting bagi Kiev untuk mendapatkan keputusan IMF sebelum bulan September, ketika negara dengan 40 juta penduduk itu akan melakukan pembayaran yang besar untuk menampung hutang.

Zelensky mengatakan bahawa beliau yakin Ukraine akan menerima dana itu pada akhir 2021, tetapi tidak menyatakan jumlah wang yang diharap akan diperoleh. Beliau menambah bahawa hubungan Ukraine dengan IMF ‘normal’, tetapi beliau tidak setuju dengan beberapa terma pemberi pinjaman, termasuk yang berkaitan dengan reformasi kehakiman. – AFP