Peminat dibenarkan saksikan jelajah Perancis

PARIS, 26 OGOS – Pandemik koronavirus telah memaksa pengubahan semula jadual perlumbaan Jelajah Perancis dari tarikh lazimnya yang selalunya dihadiri oleh jutaan penduduk Perancis dan pelancong untuk menyaksikan perlumbaan terhebat berbasikal.

Tetapi pengarah Jelajah, Christian Prudhomme telah berikrar bahawa sebilangan peminat akan ditempatkan apabila perlumbaan tertunda Grande Boucle 2020 akan diadakan di Nice pada Sabtu.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan huru-hara bagi acara sukan dan kini kerajaan Perancis telah mengehadkan perhimpunan kepada 5,000 orang sahaja.

Ini bermakna akan ada perubahan untuk penganjur jelajah, dengan tahun-tahun kebelakangan telah menarik ratusan ribu orang menyaksikan perlumbaan di sepanjang jalan.

“Ya, orang awam mempunyai akses ke Jelajah Perancis,” Prudhomme memberitahu AFP dalam temu bual.

“Tetapi akan terdapat kawasan pemeriksaan di bahagian permulaan dan penamat untuk memberikan jumlah maksimum seramai 5,000 peminat yang dibenarkan oleh kerajaan.

“Kawasan pemeriksaan turut ditempatkan di beberapa buah laluan,” tambah Prudhomme, menjelaskan bahawa ‘di bahagian tertentu, hanya mereka yang berjalan kaki, berbasikal atau yang menaiki pengangkutan awam dari bandar atau kampung dibenarkan untuk lalu.’

Protokol kesihatan dan keselamatan bagi penunggang dan pasukan yang terlibat akan berada di dalam gelembung dan diuji beberapa kali, dengan kemungkinan kurang berinteraksi di antara gelembung masing-masing.

Sebanyak dua ton gel tangan telah diagihkan di lebih 60 buah tempat, dimestikan memakai penutup mulut dan hidung di kawasan permulaan dan penamat dan di seluruh zon yang dianjurkan oleh syarikat penganjur ASO dan langkah-langkah lain turut diambil. – AFP