Peminat fanatik Hitler ditahan rancang serangan

PARIS, 3 OKT – Seorang remaja dan peminat fanatik Hitler ditahan di Perancis kerana merancang untuk menyerang sekolah menengah dan masjid, lapor Agensi Anadolu memetik media kelmarin.

Akhbar Le Parisien melaporkan, remaja berusia 19 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Simon’ dikatakan merancang untuk melancarkan serangan di sekolahnya dan sebuah masjid berdekatan di wilayah Seine-Maritime, barat laut negara itu.

Dia ditahan beberapa hari lalu oleh pihak berkuasa keselamatan dalam negeri dan dihadapkan di hadapan hakim antikeganasan pada 1 Okt 

Menurut akhbar itu, Simon merancang untuk melancarkan serangan pada 20 April, tarikh ulang tahun Hitler dan sebelum pusingan kedua pemilihan presiden di Perancis.

Pihak berkuasa turut menjumpai 20 bilah pisau, sekurang-kurangnya tiga pistol dan 20 buku nota yang dinamakan sempena nama Hitler, di rumah Simon. – Bernama