Peminat patah hati Ikmal nak kahwin

Bilangan pengikut menurun dalam laman sosial tidak sesekali menggugat keputusan model dan pelakon, Ikmal Amry, 26, untuk menamatkan zaman bujang penghujung tahun ini.

Pelakon yang mula meraih perhatian menerusi drama Gantung The Series itu berkata, ada peminat tidak dapat menerima hakikat apabila mengetahuinya sudah bertunang dengan selebriti media sosial, Najla Samshul, Mei lalu.

“Pengikut laman sosial tidak senang saya memuat naik gambar bersama Najla. Ada menangis dan membuat ciapan kecewa dalam Twitter, manakala bilangan pengikut di Instagram (IG) turun mendadak.

“Bagaimanapun, kebanyakan pengikut baru merestui hubungan kami dan mendoakan segera berkahwin.

“Saya perhatikan peminat seakan obses hingga tidak mengizinkan saya berkahwin selepas muncul dalam drama Gantung The Series. Ada yang menyatakan mereka tidak mahu menyokong saya, tetapi tindakan ini tidak sedikitpun menggugat keputusan berkahwin dengan Najla,” katanya kepada BH Online.

Ramai gadis kecewa apabila Ikmal Amry memilih untuk berkahwin dengan Najla Samshul pada usia yang masih muda. – Agensi

Ikmal dan Najla bakal disatukan sebagai suami isteri pada 19 Disember depan.

Ikmal berkata, dia tidak bimbang popularitinya merudum, sebaliknya percaya kepada rezeki. Malah, rezekinya semakin melimpah ruah selepas membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan kekasih hati.

“Secara jujur, saya dapat merasakan nama meningkat naik sebaik memasang hasrat mahu berkahwin. Selepas bertunang, makin ramai produser memanggil saya berlakon, termasuk membintangi dua filem, bulan depan.

“Saya percaya apabila menyimpan keinginan berkahwin, lebih banyak rezeki yang diberikan. Insya-Allah, saya tidak hanya fokus pada lakonan selepas mendirikan rumah tangga.

“Saya juga mahu menceburi dunia perniagaan,” katanya yang kini mempersiapkan diri dari sudut kerohanian untuk bergelar suami. – Agensi