Peminat pelik Kajol tidak beri hadiah sempena hari jadi Shah Rukh Khan

Ramai mengetahui pelakon terkenal Bollywood iaitu Kajol dan Shah Rukh Khan bersahabat baik sejak awal pembabitan mereka sebagai anak seni.

Gara-gara tidak memberi ucapan dan hadiah sempena ulang tahun kelahiran ke-56 aktor itu pada 2 November lalu, peminat mula bertanyakan kepada Kajol alasan tidak berbuat demikian tahun ini.

Menjawab persoalan itu, pelakon filem Kuch Kuch Hota Hai ini memberitahu tiada lagi hadiah paling bermakna buat sahabatnya itu selain kepulangan anak tersayang, Aryan Khan.

“Apa lagi yang saya boleh berikan? Saya rasa semua yang diharapkan olehnya telah termakbul, lebih-lebih lagi anaknya Aryan sudah kembali ke rumah,” jawab Kajol.

Sebelum itu Kajol menerusi Instastory membuka ruangan soal jawab dengan peminat.

“Saya akan menjawab pertanyaan paling menarik, tanyalah apa-apa pun,” tulisnya.

Sebelum ini, Aryan ditahan bersama tujuh yang lain oleh Narcotics Control Bureau (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan ikat jamin ke atas Aryan. – Agensi

Kajol memberitahu tiada lagi hadiah paling bermakna buat sahabatnya itu selain kepulangan anak tersayang, Aryan Khan. – Agensi