Peminat Real kembalikan 1,000 tiket

KIEV, 25 Mei – Peminat Real Madrid mengembalikan 1,000 tiket perlawanan final Liga Juara-juara bertemu Liverpool berikutan kos penginapan dan pengangkutan yang melambung tinggi, sekali gus menghalang mereka daripada berkunjung ke ibu negara Ukraine itu.

Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin berkata tiket-tiket berkenaan tidak boleh dijual semula kepada peminat Liverpool atas alasan keselamatan tetapi akan menjualnya kepada peminat tempatan di Kiev. Kemarahan peminat kedua-dua pasukan ketika ini memuncak berikutan kenaikan harga hotel secara mendadak dan pembatalan tempahan dengan sesetengah hotel mengenakan harga 100 kali lebih tinggi berbanding harga standard. Liverpool berkata mereka sudah membuat aduan kepada ‘pihak tertinggi’ badan induk bola sepak Eropah itu.

Naib Presiden UEFA dari Ukraine, Grigoriy Surkis mengkritik sikap pemilik hotel yang mengambil kesempatan atas perlawanan melibatkan dua gergasi bola sepak Eropah yang masing-masing memiliki 17 kejuaraan Eropah.

Penyokong Liverpool mempamerkan bendera skuad itu menjelang final antara Liverpool dan Real Madrid bagi merebut kejuaraan trofi Liga Juara-juara UEFA di Kiev, Ahad ini. – AFP

“Saya tidak kecewa tetapi saya marah,” katanya. “Saya fikir ia sesuatu yang memalukan buat ibu negara, di mana pemilik hotel persendirian tidak memberi peluang kepada orang ramai datang ke sini tidak seperti bandar-bandar lain yang hanya meningkatkan harga hanya 10 kali ganda, tetapi ini hampir 100 kali ganda.”

Sementara itu, kira-kira 1,000 peminat Liverpool turut berdepan prospek terkandas di England selepas sejumlah penerbangan membatalkan perjalanan berikutan percanggahan antara syarikat perjalanan dan pihak berkuasa penerbangan di Kiev mengenai saiz pesawat.

Ketua eksekutif Liverpool Peter Moore berharap masih ada ‘penyelesaian yang menjanjikan’ boleh dicapai untuk membantu mereka yang ketinggalan. – AFP