Peminjaman vaksin dipertimbang

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Bagi memastikan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diberikan suntikan vaksin, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa usaha dan pertimbangan untuk mendapatkan vaksin.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menambah bahawa usaha peminjaman vaksin daripada negara luar seperti dibuat oleh negara lain juga sedang dipertimbangkan.

Menurutnya, peminjaman vaksin ini memerlukan penglibatan banyak pihak selain mendapatkan pengesahan undang-undang.

“Walaupun perkara ini sudah difikirkan dan perundingan telah dibuat, ia bukan sahaja tertakluk antara dua negara, tetapi mestilah juga mendapat kebenaran daripada pengeluar vaksin tersebut.

“Perundingan telah dibuat tetapi kita masih menilai penyelarasan dari segi undang-undang dan sebagainya,” jelas Yang Berhormat Dato lagi pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan usaha peminjaman vaksin daripada negara luar seperti dibuat oleh negara lain.