Wednesday, March 22, 2023
22.9 C
Brunei

-

PEMODA rai Jubli Perak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah meraikan ulang tahun penubuhannya dengan majlis sambutan jubli perak yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohammad.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, Haji Muhammad Nazri bin Haji Muhammad Yusuf, jemputan khas serta ahli-ahli PEMODA.

Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad dalam ucapan alu-aluannya menyatakan sokongan berterusan daripada ahli-ahli serta kesinambungan kepimpinan pelopor-pelopor, mantan-mantan yang dipertua dan mantan-mantan ahli Jawatankuasa Tertinggi PEMODA yang terdahulu merupakan kunci kejayaan serta peneraju kepada pelaksanaan misi PEMODA iaitu untuk menyatukan penunggang-penunggang dan penggemar motosikal berkuasa tinggi di negara ini dengan membentuk satu pasukan yang bermutu tinggi untuk disertai dan sekali gus mewakili negara bagi acara permotoran di rantau ini dan antarabangsa.

Menurutnya, sejak ia mula ditubuhkan 26 tahun yang lalu, PEMODA telah banyak melakar sejarah yang tersendiri dengan menganjurkan dan menyertai aktiviti-aktiviti yang bersifat keagamaan, kenegaraan, kemasyarakatan, jelajah, keselamatan jalan raya dan kesukanan sama ada di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Yang Berhormat Haji Nazmi memotong kek Jubli Perak 25 Tahun PEMODA pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Yang Berhormat Haji Nazmi diberikan penerangan mengenai PEMODA oleh Pengiran Haji Redzuan pada majlis tersebut.

“Ahli-ahli yang aktif adalah aset yang sangat penting dan merupakan jentera utama kepada perlaksanaan misi yang efektif serta mencapai visi iaitu untuk melahirkan ahli-ahli yang berkualiti, beretika dan berdisiplin bagi mendukung wawasan 2035,” tambahnya.

Acara diteruskan dengan upacara memotong kek Jubli Perak 25 Tahun PEMODA yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Nazmi, jemputan khas, pelopor-pelopor, mantan-mantan yang dipertua dan naib yang dipertua PEMODA.

Majlis diserikan dengan ceramah Melayu Islam Beraja yang disampaikan oleh Dr Haji Mohd Shahrol Azmi dan diteruskan dengan penyampaian Lencana Khas 25 Tahun PEMODA, Lencana Khas PEMODA COVID-19 Volunteer Crew serta Jaket Khas PEMODA yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Nazmi.

Majlis Sambutan Jubli Perak PEMODA sepatutnya diraikan pada tahun lalu namun disebabkan gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang melanda negara, maka acara ditunda hingga tahun ini.

PEMODA merupakan persatuan motosikal yang pertama didaftarkan di Negara Brunei Darussalam, bermula dengan seramai 30 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi, yang menjurus pada perpaduan bagi menyatupadukan penunggang-penunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S, Jepun perlu lupakan sejarah lampau

SEOUL, 21 MAC - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hari ini berkata hubungan dua hala antara Korea Selatan dan Jepun perlu bergerak ke...
- Advertisment -