Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Persatuan Motosikal Negara Brunei Darussalam (PEMODA) bersama-sama wakil daripada pelbagai kelab motosikal di Borneo menyertai perhimpunan motosikal Sarawak pertama 2019 yang diadakan di Sri Aman, Sarawak dari 29 Mac hingga hari ini.
Acara yang diadakan selama tiga hari itu dianjurkan oleh Borneo Island Big Bikers (Sarawak) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan serta penduduk tempatan.
Acara utama adalah acara berkonvoi ke Pulo Seduku dari Waterfront di Sri Aman, Sarawak yang diketuai oleh ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Hajah Simoi Peri.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pameran motosikal, basking, persembahan kebudayaan dan pertukaran panji-panji kelab masing-masing bagi menghormati setiap kelab motosikal. Mewakili PEMODA adalah Pengiran Haji Redzaini bin Pengiran Haji Ahmad.
Perhimpunan tersebut adalah bermatlamat untuk mempromosikan Sri Aman sebagai salah satu tumpuan pelancong, terutamanya peminat motosikal di Pulau Borneo.






























