Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pempengaruh Algeria didakwa hasut keganasan

    PARIS, 6 JAN – Pihak berkuasa Perancis telah menahan dua warga Algeria yang terkenal di platform media sosial TikTok atas tuduhan menghasut keganasan, selepas didakwa memuat naik hantaran yang menggesa kepada tindakan keganasan di Perancis.

    Penahanan kedua-dua individu tersebut – di Brest, barat Perancis, dan Grenoble, tenggara negara itu – berlaku di tengah-tengah ketegangan politik yang semakin memuncak antara Paris dan bekas tanah jajahannya, Algeria.

    Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, kelmarin menyatakan keraguannya terhadap komitmen Algeria dalam melaksanakan pelan hala tuju yang dipersetujui pada 2022 bagi memperbaiki hubungan pasca penjajahan.

    Seorang penulis blog video dikenali sebagai ‘Imad Tintin’ telah ditahan pada Jumaat di luar Grenoble selepas menerbitkan video yang menggesa pengikutnya untuk ‘membakar hidup-hidup, membunuh, dan merogol di wilayah Perancis.’

    Walaupun hantaran itu telah dipadam, Menteri Dalam Negeri berhaluan kanan, Bruno Retailleau, memuat naik tangkap layar video tersebut di akaun media sosialnya sambil mengecam penerbitannya sebagai ‘keji.’

    “Tiada tindakan akan dibiarkan tanpa jawapan,” tegas Retailleau.

    Walaupun pihak pendakwa telah meminta dia ditahan reman, seorang hakim kelmarin memutuskan untuk meletakkan penulis blog berusia 31 tahun itu di bawah pengawasan kehakiman, menurut kenyataan pejabat pendakwa Grenoble. Dia dijadualkan hadir dalam perbicaraan segera hari ini.

    ‘Imad Tintin’ memasuki Perancis pada Disember 2021 dan memohon permit kediaman pada Ogos 2023 selepas berkahwin dengan seorang wanita Perancis.

    Bagaimanapun, permohonannya ditolak dan dia turut dikenakan perintah pengusiran. – AFP

    Imad Tintin, ditahan di Echirolles, berhampiran Grenoble, pada 3 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda