KUCHING, 12 Jun – Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mengecam kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang dianggapnya kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.
Pengerusinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tindakan melabel Menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Abdul Karim yang diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.
Beliau berkata sebagai sebuah keluarga besar dalam BN, apa juga isu terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media, kerana ia boleh mencetuskan kemarahan netizen. – Bernama