KUALA LUMPUR – Nuri Funas, 38, seorang pemuda dari Benghazi, Libya telah mengembara dengan berjalan kaki di 123 negara sejak 18 tahun lepas dengan azam untuk membawa mesej keamanan ke seluruh dunia.
Beliau akan menaiki pesawat ke sesebuah negara sebelum mengembara dengan berjalan kaki di negara berkenaan bagi menyampaikan mesej bahawa masyarakat dunia daripada pelbagai bangsa dan agama, khususnya golongan muda, harus menjalinkan hubungan baik sesama mereka untuk keamanan dunia.
Mesej itu disampaikan kepada masyarakat melalui media di negara yang dikunjungi, dengan bantuan pihak kedutaan besar Libya di negara berkenaan.
“Saya amat berminat untuk mengembara dan meneroka apa yang ada di dunia. Apabila meningkat dewasa, timbul perasaan ingin menyampaikan misi keamanan ke seluruh alam, jadi saya mendapat ilham untuk menyampaikannya dengan cara berjalan kaki ke seluruh dunia,” katanya dalam satu temu ramah dengan Bernama di Kedutaan Besar Libya di sini.
Nuri berkata berjalan kaki di negara asing bukanlah satu perkara mudah kerana banyak rintangan dan halangan akan ditempuh selain memerlukan pengorbanan tinggi buat dirinya sendiri kerana terpaksa meninggalkan kehidupan harian, kerjaya dan keluarga.


“Daripada pengembaraan barulah saya memahami akan erti sebuah keamanan yang diajar oleh ibu dan bapa saya sebelum ini,” katanya.
Nuri berkata perkara asas untuk menjadi seorang pengembara ialah seseorang itu perlu bermula dengan mengembara di dalam negara sendiri terlebih dahulu, sebelum ke luar negara untuk mengenali dunia seluruhnya.
Mula mengembara ke Mesir pada Januari 1999, pemuda Libya ini kemudian meneruskan pengembaraannya di beberapa negara di kawasan timur tengah seperti Jordan, Syria, Lubnan sebelum ke Austria dan Turki.
Dengan bantuan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan Libya serta semua kedutaan besar Libya di negara yang dikunjunginya, Nuri juga mendapat tajaan penerbangan daripada Libya Airlines untuk perbelanjaan bagi pengembaraannya itu.
Selepas misi berjalan kaki di sesebuah negara selesai, beliau akan terbang pulang ke Libya untuk berehat selama sebulan, sebelum menyambung pengembaraan ke negara berikutnya. Malaysia ialah negara ke-123 yang dikunjunginya.
Nuri turut menulis buku berjudul ‘Rehlah Haula al-Alam’ dalam bahasa Arab tentang pengembaraannya ke seluruh dunia dan jilid pertama sudah siap dicetak, kini beliau dalam proses menyiapkan baki empat jilid selain merancang untuk menerbitkan versi terjemahan ke bahasa Inggeris.
Menceritakan mengenai pengalaman buruk dalam pengembaraannya itu, Nuri berkata beliau pernah terserempak dengan harimau di hutan ketika mengunjungi Indonesia, namun apa yang lebih mencabar ialah ketika dijangkiti demam malaria semasa berkunjung ke Mali dan Burkina Faso.
“Mesej dan pengajaran yang diterima daripada pengalaman buruk itu ialah jangan takut dan gentar kerana ia akan membinasakan kita. Kita mesti terus berusaha mengatasinya,” katanya.

Nuri berkata beliau menghadapi kesukaran untuk meneruskan pengembaraannya di Malaysia kerana diberikan visa hanya untuk tempoh dua minggu, berbeza dengan negara lain seperti Indonesia yang memberi visa selama tiga hingga enam bulan.
“Saya memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk mengembara di seluruh Malaysia dengan berjalan kaki,” katanya.
Ditanya tentang pandangannya mengenai Malaysia, beliau berkata negara ini merupakan satu daripada negara maju di ASEAN dan antara negara yang mempunyai rakyat majoriti beragama Islam di samping terdapat banyak komuniti Libya tinggal di negara ini.
“Sekiranya visa saya dilanjutkan tempohnya, saya bercadang untuk menyambut Ramadan di Malaysia. Saya ingin sekali menyambut bulan yang mulia itu di negara ini kerana suasana dan tradisi sambutannya hampir serupa dengan Libya,” katanya. Nuri berkata beliau kini berusaha melengkapkan jelajah di benua Asia, setelah selesai pengembaraan di Indonesia dan Singapura sebelum ke Malaysia.
Selepas negara-negara ASEAN, beliau bercadang untuk meneruskan pengembaraannya ke Australia, New Zealand, Korea, Jepun, Taiwan, dan China.
Pemuda Libya itu berkata masyarakat di Asia sangat mengalu-alukan dan menerima beliau dengan hati yang terbuka ketika beliau mengembara.
Nuri, yang mampu bertututur lima bahasa selain bahasa Arab iaitu Swahili, Hausa, Inggeris, Sepanyol dan Perancis, berharap agar beliau diberi oleh Allah kemudahan dan kesihatan serta kesejahteraan sepanjang pengembaraannya itu. – Bernama