Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Pemuda lupakan impian demi teruskan legasi

    JEMPOL – Seorang pemuda sanggup melupakan impian bergelar jurutera demi menyambung legasi arwah bapanya dalam bidang pembuatan pisau dan parang berkualiti tinggi yang diusahakan sejak 13 tahun lepas.

    Muhammad Nurdin Rostam Kamal, 24, lebih dikenali sebagai Along berkata, dia yakin bidang perniagaan peralatan tajam itu berpotensi berkembang dan menambah pendapat mencecah lima angka sebulan hanya penjualan secara dalam talian menerusi Facebook Taamim Handmade.

    Katanya, penjualan boleh mencecah RM5,000 melalui penjualan secara langsung dan dia akan memasarkan di paltform media sosial itu dua kali sebulan.

    “Sebelum ayah meninggal dunia akibat kanser otak pada Ogos lepas, harapannya adalah melihat saya menyambung legasi pembuatan pisau kerana tidak ramai generasi muda berminat dalam bidang ini.

    “Sejak berumur 16 tahun, setiap kali cuti semester atau cuti sekolah memang saya akan tolong ayah dan belajar untuk buat pisau. Saya tidak menyesal tinggalkan bidang kejuruteraan kerana bidang perniagaan sekarang lebih menguntungkan dengan kreativiti masing-masing,” katanya kepada Bernama.

    Pengusaha Taamim Handmade Muhammad Nurdin Rostam Kamal menunjukkan sebilah pisau yang telah siap diukir untuk dijual kepada orang ramai di gerai pamerannya sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Seri Jempol. – Bernama
    Sebilah pisau yang sedang proses ukir menggunakan ‘laser engraving’ sebelum dijual kepada orang ramai di gerai pameran Taamim Handmade. – Bernama

    Lulusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat Terbang yang ditemui di reruai Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan di sini berkata dia mampu menghasilkan kira-kira 20 bilah pisau dan parang buatan tangan dalam masa seminggu. 

    Katanya, produk itu diperbuat daripada logam berkua-liti tinggi, khas untuk pembuatan bilah yang diimport dari luar negara terutamanya dari Jepun.

    “Saya tidak menggunakan logam yang dikitar semula. Kelebihannya adalah pisau itu tahan karat dan mudah dijaga,” katanya harga produknya itu dijual dengan harga RM200 hingga lebih RM900 bergantung kepada material, reka bentuk dan permintaan khas pelanggan. 

    Muhammad Nurdin berkata ruang di belakang rumahnya di Felda Palong 3 dekat sini, dijadikan bengkel pembuatan alatan tajam itu.

    Katanya, siri Jelajah (AKM) adalah platform terbaik untuk usahawan muda sepertinya mempromosikan produk kepada orang ramai. 

    “Kebanyakan pengunjung yang hadir di reruai saya  adalah pengikut saya di media sosial dan memang mengenali produk dihasilkan,” katanya yang berazam mahu mengembangkan perniagaannya dengan membuka kilang sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

    Anak sulung daripada tiga beradik itu berazam membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk menghasilkan pisau bertaraf dunia.

    “Selalunya apabila cakap mengenai pisau, semua orang pandang pisau dari Amerika atau Switzerland sahaja berkualiti tinggi.

    “Saya hendak orang tahu di Malaysia pun ada tukang yang boleh menghasilkan pisau atau parang bertaraf dunia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...