Pemuda maut kemalangan sendiri di Damuan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Seorang pemuda tempatan berusia 25 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan Taman Damuan sekitar jam 5:37 pagi ini.

Kemalangan itu disahkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Menurut pihak PPDB, panggilan kecemasan diterima melalui talian 993 pada jam 5:37 pagi memaklumkan satu kemalangan di kawasan Taman Damuan, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Pasukan polis segera berkejar ke tempat kejadian bagi mengesahkan panggilan dan mendapati insiden tersebut melibatkan kemalangan sendiri, dengan mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) turut berada di tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang kemudiannya dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

Hasil pemeriksaan mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan parah daripada kemalangan dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan polis. Sehubungan itu, PPDB menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya.

Pemandu juga dinasihatkan untuk tidak memandu melebihi had laju dibenarkan dan dalam keadaan dipengaruhi ubat-ubatan, pengaruh alkohol atau sebagainya.

Anggota JBP berada di tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. – Gambar serahan PPDB