Pemuda Mesir yang berjiwa keusahawanan membantu memerangi masalah sisa plastik yang besar di negara mereka dengan mengitar semula pembungkus makanan, botol air dan sampah berupa plastik yang dibuang di tapak pelupusan sampah atau Sungai Nil.
Di sebuah kilang di pinggir Kaherah, yang dikendalikan oleh syarikat TileGreen, mesin memproses sejumlah besar sisa plastik dari semua warna, mencencangnya dan mengubahnya menjadi cecair pekat.
Sisa yang diproses tersebut yang diperbuat daripada semua jenis plastik, malah beg beli-belah sekali guna, kemudiannya dibentuk menjadi batu bata padat dan jubin yang digunakan untuk membuat laluan pejalan kaki dan garaj.
“Ia dua kali lebih kuat daripada konkrit,” kata Khaled Raafat, pengasas syarikat tersebut yang berumur 24, dengan bangga menghempas bata tersebut ke lantai untuk membuktikannya.
Setiap jubin diperbuat daripada kira-kira 125 beg plastik yang terbuang, kata rakan perniagaannya Amr Shalan, 26, dengan meninggikan suaranya mengatasi bunyi bising dari mesin.
Raafat berkata syarikat itu juga menggunakan plastik dan produk gred rendah yang diperbuat daripada pelbagai lapisan plastik dan aluminium yang tidak dapat dipisahkan dan dikitar semula.
Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, juga merupakan pengguna dan pencemar plastik terbesar di Timur Tengah dan Afrika, menurut kajian multinasional yang dilaporkan oleh majalah sains.
Negara itu menjana lebih daripada tiga juta tan sisa plastik setahun, kebanyakannya bertimbun di jalanan dan tapak pelupusan sampah haram atau hanyut ke Sungai Nil dan Laut Mediterranean.
Mikroplastik telah mencemari hidupan laut, mengancam kesihatan orang yang mengambil makanan laut dan ikan yang ditangkap di perairan yang besar di Afrika mencerminkan apa yang telah menjadi bencana alam sekitar di seluruh dunia.
TileGreen, yang dilancarkan pada 2021, menyasarkan untuk mengitar semula tiga bilion hingga lima bilion beg plastik menjelang 2025, kata Shalan.
Bermula pada tahun lepas dengan menghasilkan dan menjual jubin untuk kegunaan luar, yang mana ia telah menghasilkan kira-kira 40,000 setakat ini, dan merancang untuk menambah produk lain yang biasanya diperbuat daripada simen.
Mesir, sebuah negara berpenduduk 104 juta, telah berjanji untuk mengurangkan separuh penggunaan plastik sekali guna tahunannya menjelang 2030 dan membina loji pengurusan sisa buangan yang baharu.
Buat masa ini, bagaimanapun, lebih daripada dua pertiga daripada sisa buangan Mesir tidak terurus dengan sebaiknya, menurut Bank Dunia, mengakibatkan bahaya pada ekologi alam sekitar.
Di pantai pulau Nil Qursaya, beberapa nelayan kini mengumpul dan menyusun sampah plastik yang tersangkut pada jaring untuk diserahkan, sebagai sebahagian daripada inisiatif oleh kumpulan VeryNile.
Memandangkan Sungai Nil semakin tercemar, para nelayan dapat melihat hasil tangkapan ikan mereka semakin berkurangan, kata pengurus projek Hany Fawzy.
“Mereka tahu masa depan mereka dan masa depan anak-anak mereka semakin hilang.”
Lebih tiga perempat daripada ikan Kaherah didapati mengandungi mikroplastik dalam kajian 2020 oleh sekumpulan saintis Denmark dan UK yang diterbitkan dalam jurnal Toxics.
Di luar bandar pelabuhan Alexandria, lebih jauh ke utara, mikroplastik dikesan dalam 92 peratus ikan yang ditangkap, kata kajian tahun lepas oleh penyelidik di Institut Oseanografi dan Perikanan Negara Mesir.
VeryNile, yang bermula lima tahun lalu dengan acara pembersihan secara sukarela, membeli antara 10 dan 12 tan plastik sebulan daripada 65 nelayan, membayar mereka 14 paun Mesir sekilogram, kata Fawzy.
VeryNile kemudian memampatkan plastik bernilai tinggi seperti botol air dan menghantarnya ke loji kitar semula untuk dijadikan pelet.
“Plastik berkualiti rendah seperti pembungkus makanan akan dibakar untuk menjana kuasa elektrik kilang simen, kemudian menggunakan panapis udara dan sistem pemantauan yang sensitif untuk yang memastikan persekitaran bersih,” kataFawzy
“Kita tidak boleh mencemarkan tempat lain semata-mata untuk untuk membersihkan alam sekitar di sebuah tempat,” katanya lagi.
Program Mesir adalah sebahagian daripada program membanteras bencana global.
Kurang daripada 10 peratus daripada plastik dunia dikitar semula, menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
OECD berkata tahun lepas pengeluaran tahunan plastik berasaskan bahan fosil ditetapkan kepada 1.2 bilion tan menjelang 2060, dengan sisa melebihi satu bilion tan.
Di Mesir, para aktivis menyanjung belia yang menerajui program mewujudkan jalan penyelesaian melalui produk sebagai dorongan untuk menjaga alam sekitar
Tetapi walaupun perubahan itu dialu-alukan, mereka mengatakan ia masih tidak mencukupi.
“Apa yang telah dilakukan oleh inisiatif ini adalah mencari jalan untuk mewujudkan program yang bernilai dalam pembersihan, dan terdapat permintaan yang tinggi,” kata Mohamed Kamal, pengarah kumpulan alam sekitar Greenish.
“Apa sahaja usaha yang mengitar semula sisa buangan di Mesir adalah satu langkah ke hadapan yang baik. Tetapi ia tidak menyelesaikan masalah. Ia hanyalah sebagai suatu permulaan.” – AFP