Pemuda Yaman mula belajar Bahasa Cina demi masa depan lebih baik

SANAA – Lagu Cina bergema kedengaran di dalam bilik darjah di Sanaa, ibu kota Yaman yang dilanda peperangan, di mana kira-kira 20 pelajar sekolah Cina sedang belajar menyanyi.

“Saya suka mempelajari Bahasa Cina kerana ia sangat bagus, penting dan saya mahu pergi ke China untuk menamatkan pengajian saya di sana,” kata Karim al-Areqi, pelajar Sekolah Model Bahasa swasta di Sanaa, kepada Xinhua.

Guru Mohammed al-Ansi, yang belajar bahasa di China dan menerima ijazah sarjana muda universiti, menekankan betapa pentingnya mempelajari Bahasa Cina.

“Ia adalah bahasa untuk masa depan dan ia perlu dipelajari untuk semua generasi agar dapat manfaat daripada pembangunan saintifik, perindustrian dan ekonomi yang besar di China,” jelas al-Ansi.

Seperti kebanyakan sekolah-sekolah rendah dan menengah swasta yang lain di Yaman, Bahasa Cina adalah menjadi subjek penting dan sebahagian dari kurikulum Sekolah Model Bahasa, di mana pelajar mempelajari Bahasa Cina seperti menggunakan Bahasa Cina dalam mata pelajaran matematik dan beberapa subjek sains.

Mohammed al-Ansi menulis dipapan putih Bahasa Yaman dan Bahasa Cina di Sekolah Model Bahasa swasta di Sanaa. – Xinhua
Salah seorang murid al-Ansi sedang belajar dengan buku teks Bahasa Yaman dan Bahasa Cina. – Xinhua

Selain daripada mengajar di sekolah, al-Ansi juga mengajar dalam kelas persendirian kepada ahli perniagaan, peniaga, pekerja dan banyak lagi di Sanaa.

“Dalam mengajar Bahasa Cina, saya berjaya mendidik ramai orang melalui kurikulum dengan cara yang mudah dan jelas yang sesuai serta boleh difahami dengan semua orang,” al-Ansi berkata dengan bangga, menekankan bahawa mengajar Bahasa Cina sudah pasti mengubah cara kehidupannya.

Al-Ansi berharap Yaman dan China akan bekerjasama untuk menubuhkan pusat dan institut untuk mengajar Bahasa Cina di Yaman supaya banyak lagi orang muda dapat belajar.

“Saya harap sebuah cawangan institut dapat ditubuhkan di Yaman untuk mengajar bahasa dan memperkenalkan budaya Cina kepada banyak pelajar dan penyelidik yang berminat mempelajari budaya dan Bahasa Cina,” tambahnya.

Ramai orang di Yaman melihat bahawa belajar bahasa asing boleh membuka jalan serta memberi harapan kepada mereka untuk kehidupan baharu, seperti mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan pendapatan lebih dan membuka lagi jalan untuk menuju masa depan yang cerah di negara yang telah menderita akibat perang saudara yang berlaku selama hampir lima tahun.

Walaupun kepahitan konflik itu dirasakan, pemuda-pemuda rakyat Yaman masih aktif terlibat dalam aktiviti bersama masyarakat mereka, yang bercita-cita untuk perdamaian dan pembangunan kekal bagi negara yang dilanda perang itu.

Malah sebelum pertempuran berlaku pada awal tahun 2015 di antara Presiden Abdul Rabbu Mansour Hadi yang di-sokong oleh kerajaan Saudi dan kumpulan pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran, Yaman adalah salah satu negara termiskin di dunia Arab.

Peperangan itu telah menyebabkan beribu-ribu orang awam terbunuh dan lebih daripada tiga juta terpaksa dipindahkan. Impaknya terhadap infrastruktur negara tersebut telah musnah, manakala beberapa laluan utama di darat dan lapangan terbang terjejas akibat musnah teruk. – Xinhua