Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kita telah mengalami gangguan sosial dan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini, disebabkan pandemik COVID-19 dalam skala global.
Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada kesan buruknya tetapi dengan peralihan kepada endemik secara perlahan-lahan dan pemansuhan berterusan sekatan, tanda pemulihan dengan aktiviti ekonomi lebih menggalakkan ketara di banyak sektor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara itu ketika berucap pada Sesi Rangkaian Borneo Bulletin Yearbook (BBYB) 2022 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Namun begitu, dalam pertempuran yang panjang menentang pandemik itu, laluan di hadapan masih sahaja tidak dapat diramal dan tidak menentu.
Pada masa ini, kita menyaksikan kemunculan cabaran-cabaran baharu di mana paling ketara ialah inflasi global dan Brunei sebagai sebuah negara yang mengimport kebanyakan produk penggunanya, ia adalah tidak dapat dielakkan bahawa kita akan berhadapan cabaran inflasi import yang menyebabkan harga lebih tinggi bagi barangan harian yang kita gunakan, tambahnya.
Walaupun sesetengah ahli ekonomi meramalkan bahawa inflasi akan mula menurun pada awal 2023, ulas Yang Berhormat Dato, kita yakin bahawa perkara berkenaan tidak akan kembali seperti biasa dengan pantas.
Beliau menerangkan bahawa masih banyak kejadian global semasa yang berlaku di luar yang boleh memberikan cabaran baharu yang akan menjejaskan persekitaran di mana perniagaan kita beroperasi.
Yang Berhormat Dato menekankan bahawa acara atau kejadian global yang tidak menentu itu, menggariskan pentingnya bagi perniagaan sentiasa mempersiapkan diri mereka seberapa banyak mungkin bagi sebarang cabaran-cabaran masa hadapan yang baharu.
Rangka Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada 2021 menyediakan prinsip bimbingan bagi kita mencapai sebuah ekonomi yang lebih bersedia bagi cabaran-cabaran baharu sambil mengejar kepelbagaian ekonomi.
Beliau mengongsikan bahawa enam aspirasi rangka tindakan adalah perniagaan yang produktif dan mantap; warga yang inovatif, boleh menyesuaikan diri dan berkemahiran; ekonomi berhubungan secara global dan terbuka; alam sekitar mampan; infrastruktur ekonomi kompetitif dan berkualiti tinggi serta kecemerlangan perkhidmatan awam dan urus tadbir yang baik.
Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, rangka tindakan itu mengenal pasti lima sektor utama iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, perkhidmatan serta
ICT di mana ia menggariskan pentingnya sumbangan sektor swasta dalam ekonomi termasuk pelaburan langsung asing dan penggunaan teknologi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi.
Beliau menyatakan bahawa seperti yang dapat kita saksikan sebelum pandemik itu, syarikat-syarikat secara global mampu untuk membangun dengan lebih cepat menerusi proses kreatif dengan menggabungkan teknologi dan sumber kreatif.
Di samping itu, warga yang inovatif, boleh menyesuaikan diri dan berkemahiran dengan mentaliti yang tepat, membawa kepada penjanaan lebih banyak bakat keusahawanan yang mampu untuk memperoleh lebih banyak peluang.
Beliau berkata, perniagaan harus terus mengejar produktiviti lebih tinggi untuk meningkatkan daya saing mereka khususnya jika mereka ingin untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa.
Pada awal 2022, Yang Berhormat Dato berkata Majlis Ekonomi Brunei telah melancarkan Makmal Inovasi Brunei yang bermatlamat untuk membantu perniagaan tempatan meningkatkan skala mereka dengan memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan penyelesaian pintar dalam menangani masalah dunia sebenar dan menjana peluang-peluang baharu.
Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, kita harus sentiasa berhati-hati dengan alam sekitar kita, tegas Yang Berhormat Dato.
“Dalam mengejar kepelbagaian ekonomi, alam sekitar semula jadi negara kita harus dilindungi menerusi promosi inisiatif-inisiatif mesra alam,” tambahnya.
Beliau menekankan bahawa kita perlu mencapai keseimbangan antara matlamat pertumbuhan atau pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar. Di samping itu, untuk memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif, perkhidmatan awam dan urus tadbir juga harus telus, bertanggungjawab serta berpegang kepada kedaulatan undang-undang.