Thursday, August 11, 2022
22.8 C
Brunei

Pemulihan hijau mampu bantu jana pelaburan AS$172b

-

KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Pemulihan hijau daripada kesan pandemik COVID di Asia Tenggara berpotensi mewujudkan peluang pelaburan tahunan bernilai AS$172 bilion selain menjana lebih 30 juta pekerjaan menjelang 2030, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB).

Menurut kenyataan hari ini, ADB menjelaskan laporan terbaharu itu dalam mengenal pasti lima bidang yang menyokong pemulihan pasca-COVID menerusi pembangunan lebih hijau.

Bidang tersebut adalah pertanian yang produktif dan boleh jana semula; lautan yang sihat dan produktif; model pembangunan dan pengangkutan bandar yang mampan; model ekonomi sirkular serta tenaga boleh baharu dan kecekapan, tambahnya.

Ketua Pengarah bagi Asia Tenggara ADB, Ramesh Subramaniam berkata laporan berkenaan menekankan keutamaan dasar utama untuk ekonomi di rantau ini yang boleh membantu memastikan aspirasi sosioekonomi dan alam sekitar dilaksanakan dalam usaha mereka untuk memulihkan ekonomi.

“Walaupun beberapa negara di rantau ini telah mula menyokong pemulihan hijau, banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Kita perlu menggalakkan rangsangan hijau tambahan, mereka bentuk skim harga karbon, mengurangkan pergantungan kepada kuasa berintensifkan bahan api fosil selain menarik pelabur sektor swasta ke dalam projek tenaga boleh baharu berskala besar, pengangkutan mampan dan bandar yang bersih,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut ADB, pemulihan hijau daripada COVID adalah penting untuk memastikan masa depan yang berdaya tahan daripada segi ekonomi dan alam sekitar.

Tanpa tindakan bersepadu untuk menangani krisis alam sekitar akibat perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti, prospek pertumbuhan jangka panjang rantau ini boleh terhalang, jelasnya.

Ia menambah, pilihan dasar lain yang dikenal pasti dalam laporan itu termasuk mempergiat penyelidikan mengenai teknologi hijau, menggalakkan usahawan wanita untuk mengambil bahagian dalam peluang perniagaan hijau di samping menguruskan biodiversiti dengan lebih baik melalui sistem data terbuka dan bersepadu.

Menurut laporan itu, pendekatan pembiayaan perlu meliputi langkah menggerakkan sumber domestik melalui cukai alam sekitar dan karbon, mengurangkan subsidi untuk bahan api fosil, menggerakkan pelabur swasta dengan menangani risiko berkaitan pelaburan hijau, dan memanfaatkan kewangan awam dan swasta melalui dana hijau seperti Kemudahan Kewangan Hijau Mangkin ASEAN. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -