Pemulihan negara membangun Asia dijangka perlahan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Pemulihan ekonomi di negara-negara membangun Asia dijangka terus perlahan dengan kemajuan pemulihan bergantung kepada usaha pembendungan pandemik COVID-19 yang dilaksanakan kerajaan masing-masing, kata Bank Pembangunan Asia. 

Pengarah Penyelidikan Makroekonominya, Abdul Abiad berkata laluan pertumbuhan serantau adalah berbeza kerana ekonomi-ekonomi yang berjaya membendung pandemik dan aktif dengan pemberian vaksin mendapat lebih banyak manfaat berbanding yang lain. 

“Pengeluaran rantau ini diunjur berkembang sebanyak 7.1 peratus pada 2021 dan 5.4 peratus pada 2022.

“Inflasi diunjur pada 2.2 peratus pada 2021 dan 2.7 peratus pada 2022,” katanya semasa pembentangan beliau pada webinar yang diadakan bersempena dengan pelancaran laporan Prospek Pembangunan Asia (ADO) 2021, hari ini.

Beliau berkata dalam kes di Malaysia, lebih 40 peratus penduduk telah divaksinasi tetapi negara masih lagi bergelut dalam menangani pandemik itu.

“Meskipun mencatatkan kemajuan dalam program vaksinasinya, negara masih tidak dapat membendung pandemik itu yang membawa kepada penularan tempatan dan seterusnya mengehadkan aktiviti kilang kepada 60 peratus,” katanya. – Bernama