Pemulihan sektor perbankan e-dagang, ekonomi digital Filipina akan dipercepat

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Filipina terus menggunakan e-dagang dan ekonomi digital untuk mempercepat pemulihan ekonomi selepas tempoh pandemik COVID-19.

Dengan perniagaan runcit (secara fizikal) terjejas akibat pandemik global dan langkah-langkah pencegahan, Atase Komersial di Pusat Perdagangan dan Pelaburan Filipina di Kuala Lumpur (PTIC), Katrina Banzon berkata sektor e-dagang Filipina telah mengalami lonjakan.

“Filipina menyedari pentingnya e-dagang dan ekonomi digital sebagai kunci utama kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.

Data Jabatan Perdagangan dan Perindustrian (DTI) Filipina menunjukkan e-dagang menyumbang 3.4 peratus atau AS$12 bilion (PHP599 bilion) untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020.

Filipina menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan e-dagang kepada AS$17 bilion (PHP850 bilion) atau 4.3 peratus daripada KDNK pada 2021 kepada AS$24 bilion (PHP1.2 trilion) atau 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022.

DTI juga menetapkan sasaran meningkatkan jumlah syarikat e-dagang sebanyak 500,000 pada 2020 kepada 750,000 pada 2021, dan meningkat ke satu juta pada 2022.

Laporan e-CONOMY SEA 2020 juga meletakkan Filipina di tangga kedua, di belakang Indonesia, untuk penerapan e-dagang paling kukuh tahun lalu.

“Filipina adalah ekonomi yang didorong pengguna. Dengan 49 juta daripada 109 juta penduduknya terdiri tenaga kerja, menjadikan pasaran domestik Filipina sangat menarik.
“Kini, pasaran pengguna mula beralih kepada mengamalkan e-dagang dan e-pembayaran yang lebih pantas berbanding sebelum ini, dengan transformasi digital berlaku di hujung kedua-dua spektrum (perniagaan dan pengguna). Potensi pasaran e-dagang, terutamanya e-dagang mudah alih, sangat besar!,” katanya. – Bernama