Pemulihan semula sistem landasan kereta api Ghana

ACCRA – Shaibu Amoah merasa bangga apabila melihat lanskap bandar Ghana melalui tingkap kereta api yang meluncur lalu dan perlahan.

Shaib Amoah, 37 tahun telah membantu mengubah suai landasan kereta api di Accra sejak bulan Jun lalu, dengan membersihkan puing-puing dan menyodok kelikir di tengah terik mentari.

Apabila landasan pendek dari Accra menuju pelabuhan Tema akhirnya dibuka semula pada Januari lalu, Amoah mengikuti perjalanan pertama itu.

“Saya merasa bangga dengan kerja saya kerana saya membantu negara saya untuk mengorak langkah ke hadapan,” dia memberitahu AFP ketika kereta api bergerak keluar meninggalkan bandar itu.

Ketua Pihak Berkuasa Pembangunan Landasan Kereta api Ghana, Richard Diedong Dombo, berkata sektor pengangkutan penting bagi pembangunan negara, dengan merujuk landasan kereta api sebagai ‘jentera pertumbuhan’ bersejarah.

Seorang ahli kakitangan sistem kereta api Ghana berada di dalam kabin kapten di kereta api pertama yang menghubungkan Accra ke Tema. – AFP
Ahli-ahli kakitangan sistem kereta api Ghana bersiap sedia untuk membawa dan melayan penumpang di kereta api yang menuju Accra ke Tema. – AFP
Seorang ahli kakitangan dan penumpang menaiki sistem kereta api Ghana pada kereta api pertama yang menghubungkan Accra dengan Tema. – AFP
Ahli-ahli penyelenggaraan kakitangan sistem kereta api Ghana terlihat turun dari kereta api pertama menyambung semula laluan Accra ke Tema. – AFP
Penumpang menaiki sistem kereta api Ghana pada kereta api pertama yang menghubungkan Accra ke Tema. – AFP

Kakitangan penyelenggaraan kereta api Ghana terlihat berjalan di sepanjang landasan kereta api yang menghubungkan Accra ke Tema. – AFP

Presiden Nana Akufo-Addo menubuhkan landasan kereta api kementerian pembangunan dalam tahun 2017 untuk memulihkan landasan kereta api yang sedia ada yang dibina pada era pemerintahan jajahan Britain dan membina landasan yang baharu.

Rangkaian landasan kereta api Ghana terdiri dari tiga landasan dengan beberapa sambungan cabang, dengan jarak landasan ialah 940 kilometer.

Hanya kira-kira seperenam ini sebenarnya digunakan, dan kebanyakannya sudah usang atau dalam keadaan rosak.

Meskipun bahagian antara Tema dan Accra telah diubah suai, perjalanan 30 kilometer mengambil masa sejam setengah.

Namun di bawah ‘Rancangan Induk’ 2013, negara itu bermatlamat untuk mempunyai landasan sejauh 4,000 ki-lometer menjelang tahun 2048.

Ia akan menghubungkan Accra dengan Sekondi-Takorandi di barat daya menuju bandar raya pusat Kumasi dan ke Tamale di utara, dan menghubungkan Tema dengan Burkino Faso, jiran utara Ghana – landasan sejauh 1,200 kilometer.

Jumlah kos dianggarkan kira-kira AS$21.5 bilion.

Itu adalah besar bagi mana-mana negara, apatah lagi negara yang sedang membangun di rantau selatan Gurun Sahara, Afrika dan pihak berkuasa mengatakan mereka dengan berhati-hati mengambil pendekatan berfasa dalam projek ini, berdasarkan pembiayaan.

Diedong berkata ‘pelbagai’ pembiayaan, termasuklah sumber-sumber setempat, membantu kerja-kerja pemulihan, tetapi firma-firma asing lebih berkemungkinan akan membina landasan baharu, yang lebih mahal.

Tidak ada kontrak diberikan bagi landasan baharu, tetapi China dan syarikat-syarikat China dilihat lebih berminat dalam melabur infranstruktur di Ghana dari pihak Barat, ujarnya.

Pada Disember lalu, Akufo-Addo menyifatkan kecuaian infrastruktur landasan kereta api salah satu ‘tragedi paling terbesar’ Ghana sejak kemerdekaannya dalam tahun 1957.

Landasan Accra-Tema ditutup pada tahun 2017 ekoran kejadian kereta api tergelincir.

Dengan perkhidmatan kini dikembalikan, gerabak-gerabak yang dicat dengan warna kebangsaan, merah, kuning dan hijau bergerak di sepanjang landasan yang telah diubah suai, meskipun orang ramai bercangkung dekat dengan landasan dan orang yang melihat memperlihatkan reaksi terkejut apabila kereta api melintas.

Landasan itu menghubungkan pelbagai masyarakat yang membentuk bandar Ghana, melintasi kawasan melarat dan blok-blok pengasapuri yang menarik perhatian, pinggir kota yang baharu, sebuah kelab polo dan masjid, taman sayuran, pelabuhan yang diluaskan dan pinggir laut.

Setiap kereta api boleh membawa 600 orang pada kos hanya lima cedis (90 sen AS) bagi perjalanan sehala.

Grace Amihere, 38 tahun, seorang pelayan di landasan, masih ingat menaiki kereta api apabila dia masih muda belia.

“Orang ramai akan menyukainya kerana ia kurang mahal,” dia meramalkan.

“Pemandangannya indah, bangunan-bangunannya. Anda boleh melihat laut apabila menghampiri pelabuhan. Agak menarik.”

Dombo berkata sebelum ini landasan kereta api telah menjadi ‘sektor mati’.

Infrastruktur diabaikan kerana landasan kereta api sebelum ini adalah sebahagian daripada kementerian pengangkutan, yang belanjawannya telah gagal menampung penyelenggaraan atau membina landasan baharu, ujarnya.

Penyelia pemandu kereta api, Kofi Asare, 52 tahun, lebih 20 tahun veteran dari landasan kereta api Ghana.

Walaupun dia merasa gembira dengan fokus landasan kereta api yang dibaharui ini, dia juga merasa bimbang sama ada sokongan ini akan bertahan.

Dalam pengalaman lamanya, ujarnya, dia telah melihat pendekatan ‘ada dan tidak ada’ pada landasan kereta api – ketika tempoh ‘tidak ada’, ini bermaksud bulan-bulan tanpa bayaran.

“Ia adalah tentang kemampanan – mereka telah melakukannya, dan adakah mereka akan terus mengekalkannya?” tanyanya.

“Landasan kereta api tidak mempunyai wang mencukupi, dan jika kerajaan tidak membantu, kami akan berdepan dengan kesukaran dalam tempoh lima atau 10 tahun, sekali lagi, ujarnya.

Asare masih ingat akan sektor landasan kereta api yang diurus dengan cukup baik ketika dia membesar di Ghana dan berkata keadaan berterusan begitu sehingga kira-kira tahun 2002, apabila penyelenggaraan menjadi terputus-putus.

Dia dan yang lain yang telah mendedikasikan kehidupan kerja mereka kepada landasan kereta api, kini hanya mengharapkan yang terbaik.

Ujarnya “Kami masih menaruh kepercayaan yang tinggi, harapan kami dan jangkaan kami. Kami menjangka keadaan akan berjalan dengan baik.” – AFP