Pemunggahan kargo berjalan selama dua minggu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) ingin memaklumkan para pelaut bahawa kerja-kerja pemunggahan kargo akan dilaksanakan selama dua minggu, bermula 28 Mei hingga 10 Jun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, PBMP menyatakan lagi bahawa kerja-kerja berkenaan dilaksanakan oleh pihak Syarikat Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd dan ia akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran.

Pada masa yang sama, kapal Cheung Kam Wah (Call Sign: N/A) akan bertambat di kawasan yang terlibat di kedudukan 05° 01.65’ N, 115° 05.03’ E di mana kedudukan itu ialah Anson Passage (di perantaraan Pulau Pelompong dan Pulau Muara Besar), perairan Pelabuhan Muara, Negara Brunei Darussalam.

Selepas itu, kerja-kerja memunggah akan dilaksanakan menggunakan perahu untuk menarik sangkar ikan mendekati kapal berkenaan bagi kaedah memunggah atau menaik-turun sehingga selesai.

Isyarat amaran yang disediakan ialah lampu dan isyarat standard (Standard Lights and Symbols) serta kerja-kerja hanya akan dilaksanakan pada waktu siang hari sahaja.

Sementara itu, pada waktu malam, kapal berkenaan akan mempamerkan isyarat lampu menambat berwarna putih, dengan jarak penglihatan tidak kurang dari 12 batu nautika.

Para pelaut adalah dikehendaki untuk menjauhi diri dari zon aktiviti dan dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila berlayar di kawasan tersebut.

Kenyataan itu menyatakan lanjut bahawa pihak Syarikat Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd akan sentiasa memantau perjalanan operasi berkenaan dan bagi yang memerlukan sebarang penjelasan boleh menghubungi meja bantuan syarikat berkenaan menerusi talian 2772618.