PARIS, 4 JAN – Ikan yang telah kehilangan sumber makanan disebabkan pemutihan karang telah terlibat dalam persaingan yang tidak diperlukan, yang menyebabkan ia menggunakan tenaga yang berharga dan berpotensi mengancam kemandirian hidup, menurut kajian baharu, kelmarin.
Dengan masa depan terumbu karang dunia yang diancam perubahan iklim, satu pasukan penyelidik telah mengkaji bagaimana kejadian pemutihan karang besar-besaran telah memberi kesan terhadap 38 spesies ikan rama-rama.
Ikan terumbu karang yang bercorak dan penuh warna-warni itu ialah spesies yang pertama terkesan oleh proses pemutihan kerana ia memakan terumbu karang. “Jadi, sumber makanannya berkurang dengan pantas,” kata Sally Keith, seorang ahli ekologi marin di Universiti Lancaster, Britain.
Keith dan rakan-rakannya tidak mengetahui kejadian pemutihan karang secara besar-besaran sedang berlaku semasa mereka mula-mula mengkaji spesies ikan berkenaan di 17 terumbu karang sekitar Jepun, Filipina, Indonesia dan Pulau Krismas.
Namun, apabila salah satu kejadian pemutihan karang global yang paling teruk dalam sejarah berlaku pada tahun 2016, ia memberikan ‘peluang terbaik’ untuk mengkaji bagaimana kejadian tersebut memberi kesan terhadap tingkah laku ikan berkenaan, kata Keith kepada AFP.
“Pasukan penyelidik tersebut pulang semula selepas setahun dan terkejut untuk melihat kemusnahan terumbu karang yang sebelum ini kelihatan cantik.” – AFP