Pemuzik jalanan jana pendapatan melalui Facebook

IPOH – Perasaan cintakan seni muzik mendorong seorang pemuzik jalanan di sini untuk meneruskan aktiviti busking secara langsung di Facebook miliknya ‘Kuku Ke Tulang’ dari mula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga sekarang.

Muhamad Khairil Hafizi Mustafa Al-Bakri, 30, yang membuat persembahan dengan bermain gitar sambil menyanyi berkata PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat menyebabkan dia tidak dapat keluar meneruskan persembahan busking di beberapa kedai makan sekitar bandar raya ini, Simpang Pulai dan Batu Gajah.

Anak sulung daripada dua beradik itu yang menceburkan diri dalam bidang busking sejak 2015 berkata sumber pendapatannya sebagai pemuzik jalanan terjejas berikutan hiburan dan riadah termasuk dalam senarai aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah berkenaan.

“Jadi, saya meneruskan busking dalam tempoh satu hingga tiga jam setiap kali penampilan ‘live’ di Facebook, seminggu dalam satu atau dua kali dan tidak sangka mendapat sokongan menggalakkan dengan tontonan pernah mencecah lebih 1,500.

“Saya menerima pelbagai komen malah ada antara mereka sudi menyumbang (wang) ke akaun. Jika diikutkan, sumbangan yang diterima tidaklah sebanyak membuat persembahan terbuka yang boleh mencecah sehingga RM300 untuk setiap kali persembahan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Medan Gopeng.

Muhamad Khairil Hafizi yang pernah menuntut di Kolej Komuniti Kuala Kangsar dalam bidang Hotel dan Katering menjadikan penyanyi terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ramli Sarip dan Faizal Tahir sebagai idola serta sumber inspirasi dalam bidang nyanyian.

Anak sulung daripada dua beradik itu yang kerap membawakan lagu-lagu terkini selain malar segar era 70an dan 80an berkata, kreativiti untuk mendekati penonton diperlukan bagi memastikan golongan buskers kekal relevan serta mampu menjana pendapatan sekiranya PKPB dilanjutkan.

“Bukan saya saja yang berdepan dengan keadaan sukar sekarang, namun ramai lagi buskers di luar sana yang turut terjejas dan tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh pendapatan bagi kelangsungan hidup.

“Saya sangat berharap dapat membuat persembahan di jalanan semula tidak lama lagi apabila wabak COVID-19 bertambah reda,” katanya. – Bernama

Pemuzik jalanan, Muhamad Khairil Hafizi Mustafa Al-Bakri, meneruskan aktiviti busking menerusi persembahan secara langsung dalam laman sosial Facebook miliknya, ‘Kuku Ke Tulang’ sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu di kediamannya di Medan Gopeng, Ipoh. – Bernama