Pemuzik terkemuka Iraq terus bertahan

BAGHDAD – Di studio tarian yang berhabuk di Baghdad, pemimpin muzik Mohammed Amin Ezzat cuba memberikan dorongan kepada ahli muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan Iraq, di mana keghairahan mereka telahpun menjadi pudar disebabkan mereka tidak dibayar gaji selama lapan bulan.

Sebuah alat penghawa dingin lama cuba menyejukkan kepanasan pada musim panas di ruang sempit di Sekolah Muzik dan Balet di ibu negara itu tatkala maestro berusia 57 tahun itu memimpin kumpulan dalam latihan ‘Night on Bald Mountain’ oleh Modest Mussorgsky.

Ezzat yang mempunyai rambut kasar dan berumbai-rumbai serta 40 ahli muzik di sekelilingnya sedang bersiap sedia untuk membuat pertunjukan di Teater Kebangsaan Baghdad yang diadakan baru-baru ini, tetapi kumpulan tersebut sedikit kurang bersemangat.

Kumpulan orkestra itu telah kehilangan lebih separuh daripada anggotanya sejak awal tahun, apabila kerajaan mengeluarkan satu arahan yang melarang kakitangan kerajaan dengan dua pekerjaan daripada menerima dua gaji.

Langkah anti-rasuah itu disarankan oleh Bank Dunia dan menjejaskan kira-kira satu pertiga daripada ahli muzik orkestra, tetapi disebabkan penangguhan dalam melaksanakan pembaharuan, gaji telahpun ditahan daripada seluruh kumpulan.

Amin Ezzat mengetuai pemuzik semasa satu latihan yang diadakan di Sekolah Muzik dan Balet Baghdad. – AFP

“Orkestra berada dalam keadaan bahaya,” kata Ezzat. “Beberapa orang tidak mempunyai wang yang cukup untuk datang dan yang lainnya berasa kecewa dengan kesan politik ke atas orkestra.”

Ditubuhkan secara rasmi pada 1970 selepas beberapa percubaan yang tidak berjaya, orkestra kebangsaan Iraq telah bertahan walaupun menghadapi pergolakan selama beberapa dekad. Ia telah bertahan dari peperangan, satu serangan, sekatan antarabangsa 12 tahun dan pertempuran menentang kumpulan berani mati Islamic State (IS) selama tiga tahun, yang berakhir pada tahun lalu.

Namun ia mungkin kesabaran terakhir untuk kumpulan itu, mangsa kolateral ‘perang membanteras rasuah’ di Iraq.

“Tidak dibayar gaji selama lapan bulan mempunyai kesan psikologi yang teruk ke atas ahli muzik, namun kami akan terus bertahan dengan muzik kami,” kata Ezzat, yang menjadi pemimpin Iraq pertama orkestra pada tahun 1989.

“Kami berada pada jurang yang amat runcing tetapi yang pasti kami tidak akan memberontak.”

Apabila kesemua gajinya diselaraskan, termasuk AS$1,200 sebulan untuk maestro, tidak banyak untuk pemimpin, orkestra itu menelan kos AS$85,000 setahun daripada kerajaan. Jumlah tersebut adalah sedikit berbanding dengan jumlah tinggi yang disalurkan oleh menteri dan pegawai kanan yang sama ada telah melarikan diri atau telah ditahan.

Pemimpin orkestra, anak perempuannya, Noor, pemain timpani dan anak lelakinya, Hossam dan Islam, yang bermain selo dan viola, masing-masing belum menerima gaji semenjak bulan Januari.

Namun menurut Raed Allawi, ketua hal ehwal pentadbiran di Kementerian Kebudayaan Iraq, tidak terdapatnya sebab-sebab untuk berasa cemas, gaji akan dibayar tidak lama lagi.

“Kementerian kewangan telah meminta supaya kontrak diseragamkan. Langkah-langkah pengesahan sedang diambil dan ini menjelaskan mengapa gaji dibayar lewat,” kata Allawi.

Saad Saleh Dujaili, pemain seruling di Orkestra Simfoni Kebangsaan Iraq, semasa membuat latihannya di Sekolah Muzik dan Balet di Baghdad. – AFP
Ketika latihan, bekalan elektrik terputus di studio, satu kejadian yang lazim berlaku di sebuah negara yang dibelenggu dengan masalah berkenaan. Orkestra tidak mampu membeli minyak untuk digunakan dalam penjana bangunan. Namun ahli muzik terus bermain dalam bilik tanpa tingkap, menggunakan telefon bimbit mereka untuk menerangi kertas muzik. – AFP
Alat muzik yang dibiarkan di atas lantai semasa latihan Orkestra Simfoni Kebangsaan Iraq di Sekolah Muzik dan Balet Baghdad. – AFP

“Orkestra ialah salah satu pertunjukan kebudayaan negara dan kementerian menghormati artis dan bakat mereka.”

Bagaimanapun, untuk ahli muzik simfoni, ia merupakan janji kosong yang selalu didengar oleh mereka.

Saad al-Dujaily, seorang profesor perubatan dan pemain flut, menganggap langkah berkenaan adalah regresif.

“Saya telah menjadi pakar obstetrik dan pemain flut sejak saya masih kecil lagi,” kata beliau.

Disebabkan perintah yang dikeluarkan, pengamal perubatan yang berusia 57 tahun itu, yang mengajar di Universiti al-Nahrain di Baghdad dan bermain dalam orkestra kebangsaan, kini hanya layak menerima satu gaji.

“Di Iraq, kami berasa bangga mempunyai lebih daripada satu pekerjaan, mempunyai lebih daripada satu kegemaran, melakukan dua pekerjaan dengan semangat dan keghairahan yang sama,” kata Dujaily, yang merancang meneruskan penglibatannya dalam orkestra untuk membantu memelihara kualitinya.

Ketika latihan, bekalan elektrik terputus di studio, satu kejadian yang lazim berlaku di sebuah negara yang dibelenggu dengan masalah berkenaan. Orkestra tidak mampu membeli minyak untuk digunakan dalam penjana bangunan.

Namun ahli muzik terus bermain dalam bilik tanpa tingkap, menggunakan telefon bimbit mereka untuk menerangi kertas muzik. “Pernah berlakunya krisis sebelum ini, namun ini adalah yang paling teruk,” kata Doaa Majid al-Azzawi, seorang pemain obo.

“Lebih-lebih lagi sejak bapa dan saya adalah ahli muzik. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi jika orkestra perlu berhenti, kebudayaan di Iraq akan menerima tamparan hebat,” kata pemuda berusia 25 tahun itu.

Apabila lampu studio kembali menyala, semangat pemain juga meningkat dan muzik menjadi semakin kuat.

“Selama kami hidup, muzik juga akan hidup. Ia merupakan kebudayaan kami,” kata Noor. – AFP