Penalti Giroud selamatkan Les Bleus

PARIS, 15 NOV – Olivier Giroud menyempurnakan penalti lewat ketika Perancis bergelut untuk meraih kemenangan 2-1 terhadap Moldova yang menghuni ranking 175 dunia, beberapa jam selepas mengesahkan tiket ke pusingan akhir Euro 2020, awal pagi tadi.

Perancis yang juga juara dunia dan tewas di final Euro 2016 kepada Portugal di laman sendiri mengesahkan tempat di pusingan akhir sebelum sepak mula permainan di Paris susulan keputusan seri 0-0 di antara Turki dan Iceland.

Begitupun, keceriaan mereka pada perlawanan kelayakan terakhir di gelanggang sendiri di Stade de France hampir terencat apabila Vadim Rata menghukum kegoyahan jentera serangan untuk meletakkan Moldova mendahului pada minit kesembilan.

Raphael Varane menyamakan kedudukan buat tuan rumah, 10 minit sebelum babak pertama berakhir dengan jaringan itu turut dibantah pemain dan jurulatih Moldova yang mendakwa penjaga gol mereka Alexei Koselev dikasari oleh Giroud.

Penyerang Chelsea itu kemudian mengesahkan gol kemenangan 11 minit sebelum permainan berakhir selepas Lucas Digne dijatuhkan dalam kawasan penalti itu meninggalkan Perancis kini memiliki kelebihan dua mata di depan Turki dalam Kumpulan H.

“Saya boleh dan sepatutnya menjaringkan gol sebelum penalti itu. Kami langsung tidak memperoleh permulaan yang kami patut lakukan,” kata Giroud. – AFP

Aksi Giroud ketika menjaringkan gol penalti pada perlawanan menentang Moldova di Stadium Stade de France, Utara Paris, kelmarin. – AFP