MIDDLESBROUGH, 1 Feb – Alvaro Negredo telah menyelamatkan Middlesbrough apabila penyerang Sepanyol itu berjaya menyudahkan sepakan penalti bagi memastikan keputusan seri 1-1 menentang West Bromwich Albion.
Skuad Aitor Karanka ketinggalan selepas bekas pemain tengah mereka, James Morrison merembat masuk jaringan pendahuluan dari jarak 20 ela di Stadium Riverside.
Namun tidak lama kemudian, Boro menyamakan kedudukan selepas Gareth McAuley telah menjatuhkan Marten de Roon di dalam kawasan dan Negredo memikul tanggungjawab menyudahkan sepakan penalti itu.
Satu mata itu kelihatannya tidak mengembirakan Karanka, yang baru-baru ini mengakui kecewa kerana gagal membeli pemain dalam jendela perpindahan Januari.
Middlesbrough kini hanya dua mata di atas zon penyingkiran selepas gagal menang dalam enam perlawanan liga berturut-turut.
Karanka, yang telah membuat tujuh perubahan dalam kesebelasan pemainnya dari kemenangan 1-0 Piala FA ke atas Accrington hujung minggu lalu, telah menyaksikan pasukannya ketinggalan hanya selepas enam minit perlawanan.
Selepas rehat, Victor Valdes hampir ditewaskan sebanyak dua kali apabila West Brom menggegarkan palang dalam jarak beberapa saat, pertama melalui tandukan Matt Phillips dan kemudian cubaan Salomon Rondon. Selepas itu, Middlesbrough membuat serangan di sebelah kanan, yang mana menyaksikan cubaan kali pertama De Roon berjaya ditepis keluar Ben Foster.
Skuad Karanka juga menghasilkan tiga percubaan yang berjaya dihalang oleh The Baggies, sementara percubaan jarak jauh Chris Brunt berjaya ditepis keluar oleh Valdes. – AFP