Penalti Sarabia tonggak kemenangan Sepanyol

ATHNES, 12 NOV – Sepanyol menewaskan Greece 1-0 melalui sepakan penalti separuh masa pertama Pablo Sarabia kelmarin untuk menetapkan penentuan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden.

Pasukan Sweden tewas 2-0 di Georgia untuk menduduki tempat kedua dalam Kumpulan B, satu mata di belakang Sepanyol.

Kemenangan oleh mana-mana pasukan di Seville akan memberikan mereka tempat teratas dan tempat di pusingan akhir Piala Dunia di Qatar manakala keputusan seri membolehkan Sepanyol mara.

Greece terpaksa menang di stadium Olimpik Athens untuk mengekalkan harapan mereka berada di tempat kedua tetapi kekalahan itu mengekalkan mereka di tempat ketiga.

Sarabia, yang bermain untuk Sporting Lisbon, meledakkan bola tepat di belakang jangkauan penjaga gol Benfica, Odysseas Vlachodimos pada minit ke-26.

Pengadil Poland, Szymon Marciniak menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat apabila pemain pertahanan Greece, Dimitris Giannoulis dari Norwich City menjatuhkan pemain pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte.

Dengan kehilangan tiga pemain tengah utama akibat kecederaan, Greece gagal mengekalkan penguasaan bola untuk masa yang lama dan kehebatan Sepanyol secara jelas kelihatan.

Pada separuh masa pertama, pemain tengah Sepanyol, Koke bijak menghantar bola antara tiga pemain pertahanan kepada Raul de Tomas, tetapi pemain Espanyol itu terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Satu lagi peluang bagus untuk Sepanyol hadir pada minit ke-36 apabila percubaan pemain penyerang Juventus, Alvaro Morata berjaya disekat oleh Vlachodimos.

Greece menjaringkan gol pada minit ke-21 apabila pemain penyerang Olympiakos, Giorgos Masouras melepasi dan meletakkan bola melepasi penjaga gol Athletic Bilbao, Unai Simon, tetapi gol tersebut dikenakan kesalahan ofsaid. – AFP

Reaksi pemain tengah Sepanyol, Koke dan pemain depan, Raul de Tomas meraikan kemenangan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Greece kelmarin. – AFP