PORTO, Portugal, 7 Mac – Alex Telles menyudahkan sepakan penalti menerusi VAR pada masa tambahan ketika pasukan Porto menewaskan Roma 3-1 awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara berikutan kemenangan 4-3 menerusi agregat.
Francisco Soares memastikan Porto di depan dengan jaringan mudah pada minit ke-26, tetapi Daniele De Rossi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum berakhir separuh masa pertama selepas Eder Militai menjatuhkan Diego Perotti.
Moussa Marega mengembalikan pendahuluan bagi Porto pada awal separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan apabila dia menjaringkan gol dalam kemunculan kali keenam berturut–turut di Eropah.
Tambahan setengah jam diperlukan untuk menyelesaikan persaingan yang dilihat menuju penentuan sepakan penalti sebelum Telles menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-117 selepas kekasaran ke atas Fernando oleh Alessandro Florenzi dikesan.
“Ia bukan sahaja saya menjaringkan gol penalti, ia adalah seluruh pasukan. Dragao, seluruh stadium, memastikan saya merasa mudah. Ia adalah satu tenaga yang bagus,” kata Telles.
“Kami perlu menerimanya, walaupun cara ia berlaku sukar untuk diterima,” kapten pasukan Roma, De Rossi memberitahu Sky Sport Italia.
Sebelum perlawanan jurulatih Porto, Sergio Conceicao, bekas pemain pasukan pesaing Roma, iaitu Lazio, menyuarakan perlu untuk bersabar ketika pasukannya bersedia untuk mengurangkan defisit 2-1. – AFP


































