SEOUL, 17 Sept – Penamatan program nuklear akan menjadi yang terpenting dalam agenda Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in apabila beliau menemui pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Pyongyang minggu ini, menurut pejabat Moon hari ini.
Moon akan berlepas ke bandar Korea Utara esok bagi sidang kemuncak ketiga beliau dengan Kim dalam peringkat terbaharu pemulihan diplomatik di semenanjung, meskipun kemajuan terhenti dalam rundingan penamatan program nuklear antara Pyongyang dan Washington.
“Kami akan menggesa bagi penamatan program nuklear Korea Utara lebih awal dan langkah saling timbal balik dari Amerika Syarikat (AS) dengan cepat mengembalikan dialog jujur yang bertujuan mewujudkan hubungan baharu yang aman,” ketua kakitangan Moon, Im Jong-seok memberitahu para pemberita.
Moon, yang telah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali pada tahun ini, berperanan penting dalam menjadi perantara sidang kemuncak bersejarah di Singapura antara Presiden AS Donald Trump dan Kim pada Jun lalu, apabila Kim menyokong penamatan program nuklear ‘Semenanjung Korea’.
Namun tidak ada butiran dipersetujui dan Washington dan Pyongyang telah bertelingkah sejak pertemuan itu.
AS menggesa bagi ‘penamatan program nuklear Korea Utara yang muktamad dan sepenuhnya disahkan’ manakala Pyongyang menyelar tuntutan AS itu sebagai ‘seperti gengster’.
Im berkata pemimpin Korea Selatan akan cuba merapatkan jurang antara AS dan Korea Utara dengan memainkan peranan pihak pengantara.
“Menerusi pelbagai rundingan dan panggilan telefon, Presiden Moon telah lebih memahami tentang apakah yang difikirkan oleh AS, dari pengerusi Kim,” ujarnya lagi.
Moon akan menjadi pemimpin ketiga Korea Selatan melawat Pyongyang dan akan mengadakan sekurang-kurangnya dua rundingan dengan Kim yang mungkin akan membuat kemunculan luar biasa di lapangan terbang untuk mengalu-alukan ketibaan tetamu-tetamu beliau, menurut ketua kakitangan itu lagi.
Beliau juga dijadualkan menghadiri satu konsert dan melawat tempat-tempat penting di Pyongyang bersama delegasi beliau, yang termasuklah Lee Jae-yong, pewaris kumpulan Samsung dan timbalan pengerusi Hyundai Motor. – AFP