Friday, October 11, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penambahan kapal ronda TLDM, perkukuh kawalan perairan Sabah

    SANDAKAN, 19 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan timur negeri ini dengan penambahan dua kapal ronda, KD Jerong dan KD Paus.

    Dua kapal ronda itu sebelum ini berpangkalan di TLDM Kota Kinabalu dan dipindahkan ke Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 berpangkalan di daerah ini.

    Panglima Mawilla 2 Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam berkata perpindahan dua kapal ini ke bawah naungan Mawilla 2 merupakan salah satu inisiatif TLDM dalam menampung keperluan aset berikutan kawasan perairan timur Sabah mempunyai kawasan operasi yang luas dan mencabar.

    Katanya  dengan penambahan dua kapal ini, kini armada Mawilla 2 terdiri daripada enam kapal dari kelas Skuadron Kapal Ronda Laju (SKRL) selain daripada empat lagi kapal –  KD Baung, KD Todak, KD Pari dan KD Yu.

    Secara keseluruhannya, Armada Mawilla kini diperkuatkan dengan 10 kapal dan dua pangkalan laut serta bot-bot tempur bagi memenuhi keperluan operasi, katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut kedatangan dua kapal itu di Pangkalan Mawilla 2 di sini, hari ini.

    Panglima Mawilla 2 Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam memberikan isyarat untuk berlabuh kepada kapal KD Jerong sebagai simbolik penerimaan dua buah kapal yang dipindahkan dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu iaitu KD Paus dan KD Jerong di Tambatan Pangkalan Sandakan hari ini. – Bernama

    Menurutnya kawasan penugasan kapal ronda di bawah Mawilla 2 meliputu dari perairan Kudat hingga  Tawau dengan tumpuan di kawasan perairan Sandakan hingga Tawau.

    Katanya penambahan dua kapal ini, kekerapan rondaan akan dilaksanakan di perairan utara di kawasan Kudat.

    Beliau berkata penambahan keluasan kawasan rondaan penting bagi membolehkan komuniti maritim di perairan timur negeri ini menyaksikan kehadiran kapal TLDM.

    Ganesh berkata penggunaan kapal misi persisir (LMS) untuk rondaan di perairan timur negeri ini pula sesuai dengan keadaan laut yang banyak terumbu, benteng pasir dan cetek.

    Mengenai penambahan kapal ronda baharu, Ganesh berkata terdapat 10 kapal ronda baharu sedang dalam pembinaan di Lumut, Perak dan di China yang dijangka akan mula diterima pada 2020.

    Katanya sementara menunggu kapal baharu siap, kapal ronda sedia ada yang berumur 40 hingga 50 tahun masih dikekalkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda