Penampilan sulung gandingan Biden, Harris

WASHINGTON, 13 OGOS – Calon presiden Parti Demokratik Joe Biden dan gandingannya Kamala Harris membuat penampilan sulung di khalayak semalam, dan berikrar akan memberi saingan sengit kepada Rumah Putih, lapor agensi Anadolu.

“Rakyat Amerika amat menagihkan kepemimpinan,” kata Harris dalam ucapannya.

Harris ialah wanita kulit hitam atau Asia-Amerika pertama yang dipilih untuk menyandang jawatan penting. Ayahnya seorang pendatang berasal dari Jamaica manakala ibunya dari India.

Sementara itu, Biden berkata “pilihan yang kita buat pada November ini akan menentukan masa depan Amerika untuk tempoh yang sangat lama dan saya mempunyai pilihan serta peluang yang bagus.”

“Saya tidak berasa ragu kerana saya telah memilih orang yang tepat untuk bergandingan dengan saya sebagai naib presiden Amerika Syarikat (AS) yang seterusnya,” kata Biden dalam satu acara di sebuah sekolah menengah Delaware.

Harris dalam ucapannya turut mengkritik Presiden Donald Trump dan Naib Presiden Mike Pence sambil berkata tentangan sebenarnya terhadap mereka akan dapat disaksikan pada 3 November nanti.

“Lihat apa yang mereka telah lakukan kepada kita: Lebih 16 juta orang tidak mempunyai pekerjaan, berjuta-juta anak tidak dapat kembali semula ke sekolah, krisis kemiskinan, hilang tempat tinggal, paling banyak menimpa orang kulit hitam dan orang asli, krisis kelaparan dan lagi menyedihkan lebih 165,000 nyawa terkorban, ada yang tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada orang tersayang,” katanya.

Biden secara rasmi akan menerima pencalonan Demokrat pada hari ini, hari terakhir Konvensyen Kebangsaan Demokratik yang berlangsung selama empat hari. – Bernama