Penampilan sulung Indera SC dalam Piala AFC 2020

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Pasukan Indera SC melakar sejarahnya yang tersendiri apabila membuat kemunculan pertamanya di peringkat antarabangsa dengan menyaksikan penampilan sulungnya di Piala AFC 2020.

Pasukan Indera SC sudah semestinya akan memberikan permainan terbaiknya menjelang Perlawanan Peringkat Kelayakan Piala AFC 2020 antara Pasukan Indera SC dari Negara Brunei Darussalam dan Pasukan Yangon United FC dari kelab bola sepak dalam Liga Kebangsaan Myanmar yang akan dijadualkan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, esok.

Ketua Jurulatih Indera SC, Haji Ameer Aziz Hakim bin Haji Abdul Latif semasa sidang media yang berlangsung petang tadi di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah menjelaskan bahawa para pemain dan seluruh pihak pengurusan Indera SC berharap untuk terus meraih kejayaan dan melayakkan diri ke peringkat pusingan seterusnya dalam Piala AFC 2020 ini.

Menjelang perlawanan sulung menentang Pasukan Yangon United FC esok, para pemain Indera SC dan seluruh pasukan telah mengadakan latihan yang kerap dan intensif bagi memantapkan kekuatan fizikal serta teknikal pasukannya selain mempersiapkan kekuatan mental bagi para pemain menempuhi perlawanan besar yang turut mengangkat nama negara di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah kami bekerja dengan cukup keras dan mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada para pemain dan menjangkakan mereka akan dapat memberikan 100 peratus atau lebih pada perlawanan esok,” tambah Ketua Jurulatih Indera SC lagi.

Sidang media Perlawanan Peringkat Kelayakan Piala AFC 2020 antara Pasukan Indera SC dan Yangon United FC.

Pada kesempatan yang sama, beliau turut mengalu-alukan para penyokong bola sepak tempatan untuk sama-sama hadir menunjukkan sokongan bagi perlawanan itu dan mendoakan agar kejayaan berpihak kepada Pasukan Indera SC.

Beliau seterusnya menyeru agar rakyat dan penduduk di negara ini dapat menyokong pasukan berkenaan kerana sokongan mereka adalah sangat diperlukan untuk pasukan itu terus maju ke peringkat yang lebih jauh.

“Berada di laman sendiri sudah semestinya merupakan satu kelebihan bagi pasukan Indera SC, bagaimanapun apa sahaja boleh terjadi dalam tempoh 90 minit permainan meskipun dengan bermain di tempat sendiri. Namun ia sedikit sebanyak menaikkan semangat para pemain berbanding ketika bermain di tempat lawan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Yangon United, U Tin Maung Tun pada sidang media tersebut turut menjelaskan bahawa meskipun Pasukan Indera SC bukanlah pasukan yang ternama dan kurang berpengalaman berbanding pasukannya, mereka tidak sekali-kali memandang rendah atau memandang ringan terhadap perlawanan esok malam kerana dalam permainan bola sepak apa pun boleh terjadi.

Malah seluruh Pasukan Yangon United FC tersebut juga akan tetap berusaha untuk mempamerkan permainan yang terbaik bagi perlawanan penting esok menentang Pasukan Indera SC.