Penampilan yang tidak ada perbezaan

Penyanyi, Elizabeth Tan (gambar bawah), bersedia untuk dikecam warganet yang barangkali tidak menggemari aksi seksi dan unsur ghairah dalam video muzik lagu terbaharunya, Shh.

Akui lali dengan kecaman sedemikian, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy bagaimanapun berkata, penampilannya itu tidak perlu diperbesarkan kerana ia sama sahaja dengan artis K-pop yang sering tampil atau beraksi seksi dalam video muzik mereka.

“Sepanjang menjadi penyanyi dan menghasilkan pelbagai video muzik, inilah klip paling saya suka dan nantikan. Bagi saya, ia mempunyai nilai seni tersendiri dan menarik dari segi visual.

“Mungkin akan ada yang tidak berpuas hati dan akan mengecam kerana pakaian saya serta penari memang kelihatan seksi. Begitupun, kalau peminat dapat terima gaya artis wanita K-pop, kenapa pula mereka tak boleh berbuat begitu dengan apa yang saya pakai? Tak ada beza pun,” katanya kepada media.

Penyanyi yang popular dengan lagu Knock! Knock! dan Police Entry itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai Duta Ahmad Tea.

Mengulas mengenai single terkini hasil sentuhan komposer terkenal, Hael Husaini dan Ezra Kong itu, dia mengharapkan lagu itu mampu mendapat tempat di hati peminat, sama seperti dendangannya sebelum ini. – Agensi