Penanam sayur disaran tinjau kepelbagaian

KOTA KINABALU, 21 APRIL – Seorang penyelidik kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyarankan para penanam sayur di Sabah untuk meninjau dengan serius cara-cara bagi mengawet sayur-sayuran tuaian mereka, bagi menangani masalah lambakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Jurry Foo, dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS berkata ramai penanam sayur di Sabah, terutama di Kundasang, Ranau, menghadapi masalah dalam menjual produk mereka sejak PKP diperkenalkan pada 18 Mac, yang kini memasuki fasa ketiga sehingga 28 April ini.

“Saya sedar dengan masalah yang dihadapi oleh penanam sayur, terutama di Kundasang. Memang amat menyedihkan apabila melihat banyak produk ini terpaksa dibuang begitu sahaja apabila ia tidak dapat dijual di luar daripada daerah
berkenaan.

“Jadi saya ingin mencadangkan, daripada dibuang begitu sahaja, mereka perlu meneroka kemahiran penduduk tempatan satu ketika dahulu, dalam mengawet atau menjadikan sayur-sayuran itu seperti jeruk, sebagai salah satu cara menambah nilai produk perkenaan, malah mungkin boleh terus dilaksanakan selepas tamat tempoh PKP,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. – Bernama