Penanaman pokok sempena Hari Bumi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Sempena Hari Bumi yang diraikan pada 22 April setiap tahun di seluruh dunia, Kementerian Pembangunan hari ini menanam empat batang anak pokok di perkarangan bangunan kementerian itu.

Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin memulakan usaha penanaman anak-anak pokok itu, selaras dengan inisiatif kementerian melalui Urus Setia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam untuk menanam 200 anak pokok di negara ini bagi melambangkan jumlah pokok yang mampu mengimbangi jejak karbon seorang penduduk setahun.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

Menurut kenyataan kementerian itu, setakat ini sebanyak 50 buah rumah telah ikut serta dalam inisiatif ini di mana setiap rumah telah menanam empat batang anak pokok.

Menurut Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke, Sambutan Hari Bumi yang bertemakan ‘Tindakan Iklim di Seluruh Dunia’ itu, diharap dapat menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini untuk menanam lebih banyak pokok.

Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke menanam empat anak pokok di perkarangan kementerian berkenaan sempena Hari Bumi, kelmarin. – Gambar serahan Kem. Pembangunan