Penanaman pokok tingkatkan kehidupan komuniti Habsyah

BUEE, HABSYAH – Meredah hujan lebat, ratusan petani menghabiskan seharian menanam 20,000 anak benih pokok akasia di lereng bukit tandus di luar bandar Buee di selatan Habsyah pada tahun lalu.

Mereka menyahut gesaan daripada Perdana Menteri Abiy Ahmed pada Julai lalu, yang mahu rakyatnya menanam 200 juta pokok dalam satu hari, memecah rekod dunia.

Namun sementara petani mempunyai ‘jangkaan tinggi’, hampir setahun kemudian – tatkala Habsyah merai Hari Alam Sekitar Dunia pada Jumaat – mereka berkata keputusan di Buee mengecewakan.

Hujan yang turun dengan serta-merta menghanyutkan lebih satu pertiga daripada anak benih, dan mereka yang masih tinggal bergelut untuk menanam daripada lubang yang digali tergesa-gesa yang dipenuhi dengan tanah kurang subur, kata Ewnatu Kornen, pegawai alam sekitar tempatan.

Pengalaman pahit yang dialami oleh petani menandakan kelemahan kempen penanaman pokok besar-besaran, yang penting kepada kempen ‘Warisan Hijau’ Abiy untuk mempromosi ekopelancongan dan mengubah Habsyah kepada ekonomi mesra alam.

Wanita tempatan menjaga anak benih di sebuah tapak semaian di luar Buee, 100 km dari Addis Ababa, di selatan Habsyah. – AFP

Penduduk menyiram anak benih di sebuah tapak semaian di luar Buee, berhampiran Addis Ababa di selatan habsyah. – AFP

Kira-kira 353 anak benih, 153 juta lebih daripada matlamat asal, ditanam di seluruh negara semasa penanaman besar-besaran sehari pada tahun lalu, menurut angka rasmi.

Ia merupakan sebahagian kecil daripada empat bilion pokok yang dilaporkan ditanam sepanjang musim hujan 2019, yang berlangsung dari Jun hingga September di Hasbyah.

Penanaman besar-besaran pada tahun ini masih belum dijadualkan, namun Abiy pada Jumaat melancarkan satu kempen untuk menanam lima bilion pokok baharu pada musim hujan ini.

Pada satu majlis di selatan bandar Hawassa, beliau memberitahu pegawai beliau mahu negara menanam 20 bilion pokok dalam tempoh empat tahun.

Di luar Habsyah, terdapatnya perdebatan mengenai kredibiliti angka besar itu.

Namun pakar tempatan berkata timbulnya persoalan yang lebih penting: Adakah penanaman dianjur dengan betul, dan sama ada terdapatnya susulan yang cukup untuk memastikan pokok berkenaan hidup?

“Ia bukan mengenai jumlah sebenarnya,” kata Negash Teklu, ketua kumpulan NGO dikenali sebagai Konsortium Kesihatan Penduduk & Alam Sekitar Habsyah.

“Ia mengenai keberkesanan skim penanaman pokok.”

Pada bulan lalu, Abiy mengumumkan 84 peratus daripada empat bilion pokok yang ditanam pada 2019 hidup, mewujudkan ‘kerja-kerja penjagaan ekstensif’ sepanjang tahun.

Tidak ada kajian bebas yang telah dijalankan.

Namun Negash, yang menekankan beliau menyokong agenda penanaman pokok Abiy, mengesyaki kadar kejayaan telah ‘diperbesar-besarkan.’

“Mereka tidak menimbang bagaimana komuniti boleh menjadi pemilik proses. Ia lebih bersifat rambang –‘Oh, kami akan tanam,’” kata Negash mengenai usaha tahun lalu.

Ia jelas di ibu negara Addis Ababa, di mana penduduk menanam pokok hiasan di hutan di luar pusat bandar, sementara yang lainnya menempatkan pokok besar di tengah-tengah jalan sibuk – di mana ia tidak mempunyai peluang untuk hidup.

Melihat pada masa depan, pegawai mesti melakukan kerja yang lebih baik mengenai penanaman anak benih serta menjelaskan kepada rakyat bagaimana penghutanan boleh mempertingkat kehidupan mereka, kata Negash.

“Ia tidak seharusnya menjadi kempen satu hari yang berlaku setiap tahun. Ia seharusnya menjadi satu pendekatan yang benar-benar melibatkan setiap rakyat di mana-mana mereka berada ‘sepanjang tahun,’” tambah beliau.

Belaynesh Zewdie, pakar perhutanan di Program Pembangunan PBB di Buee, telah melihat bagaimana projek yang kekurangan penglibatan komuniti menjadi tidak keruan.

Pada akhir tahun 1980, di bawah rejim komunis Derg, beliau terbabit dalam satu skim untuk menanam satu juta pokok akasia di utara rantau Amhara.

Namun skim tersebut bersifat ‘paksa’, katanya, dan sebaik sahaja rejim jatuh pada 1991, penduduk yang marah menebang pokok untuk memberikan ruang kepada kegiatan bercucuk tanam.

Dalam beberapa tahun ini, Belaynesh telah mengusahakan projek penanaman dan pemulihan di Buee yang cuba memberikan faedah konkrit kepada mereka yang tinggal berhampiran.

Sebahagian daripada kawasan dilindungi projek terletak di kawasan legeh, maka beliau telah membina kolam yang menawarkan sumber air alternatif kepada gembala untuk haiwan ternakan mereka.

Beliau juga telah memberikan penduduk anak benih pokok kayu putih untuk ditanam berhampiran rumah mereka supaya mereka tidak terdorong untuk menebang pokok akasia dan pokok oak di bawah projek itu.

Sementara itu, tapak semaian projek, menggaji 17 wanita tempatan yang memperoleh AS$50 sebulan – jumlah yang agak lumayan di kawasan berkenaan.

Hasilnya, hektar demi hektar pokok menghijau – menggambarkan apa yang boleh dicapai “jika anda membincang bersama komuniti, jika komuniti menerima anda,” kata Belaynesh.

“Saya sendiri, berasa kagum setiap kali saya datang ke sini dan melihatnya,” katanya. “Ia menakjubkan.”

Meskipun mengenakan pe-rintah darurat pada April disebabkan koronavirus, Abiy masih berazam untuk memenuhi matlamat untuk menanam lima bi-lion pokok pada tahun ini.

Tatkala negara melihat ke depan menjelang pilihan raya umum yang akan dijadualkan, beliau berharap inisiatif itu boleh membantu merapatkan jurang etnik dan politik.

“Saya menyeru ahli politik supaya menanam pokok dengan menggantung pandangan politik anda untuk seketika dan melibatkan pengikut anda,” kata beliau pada majlis baru-baru ini.

Beliau seterusnya menanggalkan jaket dan menanam empat pokok cordia abyssinica dalam lubang yang telah digali, menepuk-nepuk tanah dengan tangannya.

Tatkala penanaman pada tahun ini dilancarkan di seluruh negara, pegawai berminat untuk mempertingkat usaha tahun lalu supaya lebih banyak pokok yang dapat bertahan, kata Sileshi Dagefa, pengarah Taman Botani Gullele di Addis Ababa.

“Tahun ini kami mempelajari pengajaran yang cukup daripada tahun lalu, maka saya berharap kami akan menanam spesies yang betul di tempat yang betul,” kata beliau.

Tambahnya lagi, “dengan program yang begitu besar, kami tidak mengharapkan kesempurnaan”. – AFP