Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Penanaman Salicornia tunjuk potensi pertanian mampan

    DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU – Tumbuhan tahan lasak yang hidup dengan menggunakan air masin berkembang pesat di ladang padang pasir di UAE dan membantu mencipta burger ‘sihat’, menunjukkan potensi pertanian mampan dalam cuaca paling sukar.

    Salicornia telah digunakan sebagai pengganti garam dalam patty burger, satu kejayaan pertanian yang jarang berlaku di UAE yang kaya dengan minyak, yang mengimport hampir semua makanannya.

    “Awda akan merasai rasa masin namun kurang natrium, dan awda juga mendapat kebaikan lain,” kata Tina Siegismund, ketua pemasaran dan inovasi di Global Food Industries, sebuah pengeluar makanan sejuk beku yang berpangkalan di UAE.

    Tumbuhan seakan asparagus itu dapat mengurangkan kandungan natrium sebanyak 40 peratus dalam burger sihat keluaran syarikat, yang juga mengandungi ayam, kuinoa dan kubis kerinting.

    Tumbuhan yang berasal dari bahagian Amerika Utara, Eropah, Afrika Selatan dan Asia Selatan itu sesuai dengan iklim UAE yang sukar, dan mengandungi ciri-ciri anti bakteria dan anti radang, menurut Siegismund.

    Sektor pertanian menyumbang kurang daripada satu peratus daripada KDNK di UAE, sebuah negara di barisan hadapan perubahan iklim dengan suhu kerap mencecah 50 darjah Celsius dan meningkat dengan pesat.

    Penanaman salicornia bermula tahun lepas di beberapa buah ladang di seluruh UAE sebagai sebahagian daripada percubaan menggunakan aliran air garam dari loji penyahgaraman oleh Pusat Antarabangsa untuk Pertanian Biosalin (ICBA) yang berpangkalan di Dubai.

    Augusto Becerra Lopez-Lavalle, ketua saintis di ICBA, berkata penyelidikan kini sedang dijalankan untuk menghasilkan lebih banyak ‘tanaman bernilai tinggi’, yang dijual pada harga AS$20 sekilo di Perancis.

    “Kami bermula daripada… membina prototaip ini, kepada menanamnya dengan berskala besar dengan bantuan lapan orang petani, dan kini persoalannya ialah bagaimana untuk meningkatkannya,” kata Lopez-Lavalle kepada AFP.

    Pada masa hadapan, salicornia boleh “menjadi bahan makanan yang sangat penting”, tambahnya.

    “Jika ada nilai ekonomi dan sistem pengeluaran dibangunkan untuk ini, ia boleh menjadi pengganti garam dan sebarang mikronutrien lain yang ditambah hari ini secara buatan kepada makanan yang diproses.”

    Buat masa ini, salicornia kekal sebagai produk khusus, manfaat kesihatannya tidak diketahui oleh kebanyakan orang, akui Siegismund.

    “Ia bukan produk yang dapat menjana keuntungan besar, tetapi kami menaruh kepercayaan terhadapnya dan akan meneruskannya,” katanya. – AFP

    Kelihatan seorang pekerja memeriksa keadaan salicornia. – AFP
    Seorang pekerja menyediakan campuran berasaskan salicornia untuk dijadikan patty burger di kilang pemprosesan makanan di Sharjah. – AFP

    Gambar menunjukkan salicornia yang ditanam di ladang di padang pasir di luar bandar Dubai. – AFP
    Gambar menunjukkan patty burger berasaskan salicornia. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...