Penandatanganan kontrak pemain DPMM FC

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Majlis Penandatanganan Kontrak Kelab Bola Sepak DPMM (DPMM FC) dengan para pemain dan penaja-penaja bagi Kejohanan Bolasepak Liga Singapura 2019 telah diadakan di Hotel Centrepoint, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Majlis penandatanganan dimulakan dengan penandatanganan kontrak pemain di antara DPMM FC dengan 25 orang pemain kelab bola sepak tersebut dan kemudiannya diikuti dengan penandatanganan kontrak penaja di antara DPMM FC dengan penaja-penaja.

Dalam penandatanganan kontrak pemain, DPMM FC diwakili oleh pengurus kelab berkenaan, Pengiran Haji Muhd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin dan pengurus pasukan, Awang Ali bin Haji Momin.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan cenderamata kepada salah seorang wakil penaja kelab DPMM FC dalam majlis tersebut.
Gambar ramai 25 orang pemain DPMM FC bagi Kejohanan Bolasepak Liga Singapura 2019.

Manakala dalam penandatanganan kontrak tajaan, pihak DPMM FC diwakili Pengiran Haji Muhd Waslimin dan pengurus pemasaran kelab berkenaan, Haji Momin bin Haji Mohd Ja’afar.

Sementara itu, pihak penaja yang terdiri dari DST; Mitsubishi Corporation; Syarikat Brunei Shell Marketing Sdn Bhd; Syarikat Penerbangan Diraja Brunei; Baiduri Bank Berhad; Golden Tree Sdn Bhd; Hertz; Hui Huang Enterprise (Brunei); Nazmi Textile Mall;  dan Sports Partnership Pte. Ltd. diwakili oleh pengurus-pengurus atau pegawai-pegawai tinggi syarikat masing-masing.

Acara pada petang tadi turut menyaksikan penandatanganan nemorandum per-sefahaman antara DPMM FC dengan AKK Design selaku penerbit rasmi Brunei DPMM FC MatchDay Magazine 2019.

Tetamu kehormat sete-rusnya berkesudian menyempurnakan penyampaian cenderamata daripada DPMM FC kepada penaja-penaja.

Juga diadakan pada majlis tersebut ialah pelancaran jersi DPMM FC bagi musim 2019.

Ketika ditemui pihak Media Permata, salah seorang pemain DPMM FC, Wardun Yussof menyatakan bahawa ketika ini pasukan berusaha dalam mencari keserasian antara pemain di samping mengadakan beberapa aksi persahabatan bersama pasukan tempatan dan mengadakan latihan bagi meningkatkan mutu permainan serta memperbaiki segala kekurangan mereka.

Sementara itu penjaga gawang DPMM FC, Haimie Anak Nyaring pula berharap agar pasukan tersebut akan beroleh kejayaan dan melakar kemenangan dalam Kejohanan Bola Sepak Liga Singapura musim 2019 ini nanti.