Penandatanganan kontrak pemain, penaja DPMM FC

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Majlis penandatanganan kontrak Kelab Bola Sepak DPMM (DPMM FC) dengan para pemain dan penaja-penaja bagi Kejohanan Bolasepak Liga Super Brunei 2021 telah diadakan di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Turut hadir sama ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Majlis dimulakan dengan penandatanganan kontrak dengan 23 orang pemain kelab tersebut dan diikuti dengan penandatanganan kontrak para penaja bagi DPMM FC.

Dalam penandatanganan kontrak pemain, DPMM FC diwakili oleh pengurus besar kelab berkenaan, Mohamad Ali bin Haji Momin dan pegawai kewangan kelab tersebut, Mohd Kamarul Ariffin bin Haji Arpan.

YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim semasa menyampaikan cenderamata kepada para penaja.
Majlis penandatanganan kontrak DPMM dengan para pemain yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, kelmarin.
Majlis penandatanganan kontrak DPMM FC dengan para penaja kelab berkenaan.

Manakala dalam penandatanganan kontrak tajaan, pihak DPMM FC diwakili oleh Mohamad Ali dan pengurus pemasaran kelab berkenaan, Haji Awang Momin bin Haji Mohd Ja’afar.

Sementara itu, para penaja yang terdiri daripada Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Mitsubishi Corporation, Baiduri Bank Berhad, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Hui Huang Enterprise, Borneo Genomics Innovation Sdn Bhd, Begawan Athlete Enterprise, Pitch Company dan Waznah Enterprise Sdn Bhd diwakili oleh ketua-ketua pegawai eksekutif, pengurus-pengurus dan pegawai-pegawai kanan syarikat masing-masing.

Acara pada petang tadi juga menyaksikan tetamu kehormat berkesudian menyempurnakan penyampaian cenderamata daripada DPMM FC kepada para penaja sebelum majlis diteruskan dengan pelancaran jersi ‘Home dan Away’ DPMM FC bagi musim 2021.

Pada tahun ini Kelab Bola Sepak DPMM akan bersaing dalam Kejohanan Bolasepak Liga Super Brunei 2021 berhadapan dengan kelab-kelab pasukan tempatan lainnya yang mana dijangka akan bermula tidak lama lagi.

Liga Super Brunei yang dinanti-nantikan untuk tahun 2021 menandakan kembalinya bola sepak domestik sejak langkah-langkah sekatan dilancarkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 pada bulan Mac tahun lalu.

Bercakap mengenai sokongan Bank Baiduri terhadap DPMM FC, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Perniagaan) Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha menjelaskan meskipun terdapatnya cabaran yang dihadapi dengan sekatan perjalanan, Bank Baiduri amat berbangga kerana dapat menyokong DPMM FC dalam Kejohanan Liga Super Brunei pada tahun ini dan berasa yakin dengan penglibatan DPMM FC dalam liga itu akan menambahkan lagi keterujaan kepada para penggemar sukan bola sepak tanah air.