Penangan 12 juta penonton, 7HM2 ke-3 mungkin diteruskan

Drama rantaian 7 Hari Mencintaiku 2 yang melabuhkan tirai baru-baru ini, mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik 12 juta penonton sepanjang tayangan 33 episod, mengikut sumber Nielsen 2020 dikeluarkan TV3.

Malah, episod akhir drama yang mengisi slot Akasia itu, meraih lima juta tontonan ketika disiarkan pada 17 Ogos lalu, menyamai rekod siri pertama drama berkenaan sebanyak 28 episod pada 2016.

Merakam kejayaan peribadi buat penerbit, Siti Rosmizah Semail, pencapaian drama yang menggandingkan Shukri Yahaya dan Siti Saleha selaku pelakon utama itu membuktikan penonton dahagakan drama kekeluargaan yang mampu membawa kesedaran.

“Di sebalik kecaman terutama membabitkan watak Mak Leha (lakonan Liza Abdullah), saya mendapat komen yang menyatakan drama ini menyalurkan mesej yang sangat berguna kepada penonton.

“Walaupun mereka tidak suka dengan karakter ibu mentua seperti Mak Leha, namun, mereka akur watak begitu wujud dalam masyarakat.

Siti Saleha dan Syukri Yahya antara pemegang watak utama dalam filem 7 Hari Mencintaiku 2 yang mungkin menemui penonton untuk musim ke-3 nanti. – Agensi

“Berdasarkan komen diberi, saya percaya penonton mahukan perubahan dalam drama kita. Saya sarankan kepada stesen televisyen (TV) supaya mengambil lebih banyak drama genre begini kerana cerita seperti inilah yang penonton mahu. “Selama ini, kita asyik berkiblatkan drama Korea yang bersifat cinta fantasi. Kita kena buka minda dan terima hakikat bahawa kisah masyarakat lebih dekat dengan hati penonton,” katanya kepada media.

Walaupun angka 12 juta penonton boleh dianggap cukup membanggakan untuk sebuah produksi tempatan, namun, Siti Rosmizah yakin drama terbabit boleh mencatat jumlah lebih tinggi jika tayangan di YouTube diambil kira.

“Sejujurnya, saya sudah boleh jangka drama ini bakal mendapat sambutan menggalakkan sekali gus mencatat rating tinggi. Jumlah 12 juta penonton hanyalah untuk tontonan di TV. Ia tidak termasuk tontonan di YouTube kerana drama terbabit ditayangkan di aplikasi mudah alih iQIYI.

“Malah, kita pernah meraih sehingga 1.7 juta tontonan. Hendak buat macam mana, bukan rezeki kami,” katanya.

Mengenai kemungkinan drama terbabit disambung, Siti Rosmizah berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan TV3. “TV3 meminta saya menyambung musim ketiga. Jalan cerita sudah saya siapkan tanpa tekanan. Cuma saya perlukan masa untuk menulis skrip.

“Mengikut perbincangan awal, projek ini akan mula digerakkan pada 2022,” katanya.

Tambah Siti Rosmizah, berdasarkan perbincangan, drama 7 Hari Mencintaiku mungkin akan diangkat ke layar perak. – Agensi