‘Penangan’ figura aksi

Oleh SIM Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

Ingatan mendalam terhadap figura aksi sering menggamitnya, walaupun ditinggalkan beberapa tahun dan kerana kenangan semasa kecil dan ingatan kuat itu, dia kembali mendampinginya.

Bagi Jacky Lim, 52, figura aksi, baik plastik mahupun diperbuat daripada besi seakan memukaunya selepas kerumpangan itu, kali ini semakin tegar dalam hobinya sekali gus merealisasikan impian untuk menjadikannya satu perniagaan.

Beliau yang semenjak usia muda lagi menyukainya, kini bukan sahaja pengumpul tegar, malah ketika ditemui wartawan di kedainya, Toyz Hobby, menyatakan minat itu dikongsi bersama ramai penggemar figura aksi di negara ini.

Minat dari kecil lagi

Mula mengumpulkan figura aksi pada tahun 1989 sehingga tahun 2000 dan berhenti seketika, kemudian menyambungnya semula sekitar tahun 2002, beliau mengemari model-model animasi televisyen kegemarannya, Transformers yang mula terkenal pada awal tahun 80an.

Selain Transformers, beliau turut mempunyai pelbagai jenis figura aksi daripada watak-watak popular rancangan adiwira Jepun dan robot yang popular seperti Gundam dan Macross.

Kedainya kini umpama muzium mini figura aksi.
Jacky Lim meraih kepuasan dan keseronokan mengumpulkan figura wira aksi.

Bukan sahaja mempunyai figura baharu, malahan koleksi vintaj dikeluarkan syarikat terkemuka figura aksi seperti Takara, Hasbro dan Bandai juga ada dalam koleksinya.

Menurut Jacky, minatnya dan pengumpul lain kebanyakan lahir dari zaman kanak-kanak lagi, ketika mereka tidak mampu mendapatkan figura aksi atau mainan itu tetapi kini apabila sudah dewasa serta mempunyai keupayaan untuk membeli figura aksi berkenaan, mereka mula mengumpul watak-watak kegemaran mereka.

Komuniti kecil pengemar figura aksi

Menyentuh mengenai komuniti pe-ngumpul barangan mainan dan figura aksi di Negara Brunei Darussalam, beliau menyatakan komuniti ini masih kecil jika dibandingkan dengan ada yang di negara luar, tetapi ia tidak kurang pengumpul-pengumpul tegar atau otai yang dikenali sebagai hardcore collectors.

Beliau berkata minatnya itu, telah memberikannya peluang untuk berkenalan dengan lebih ramai pengumpul tempatan dan sering kali masalah yang dihadapi adalah untuk mendapatkan figura-figura aksi atau mainan yang baharu di pasaran.

Melihat terdapat peluang dan permintaan daripada komuniti itu, pada 2013, Jacky mula menjual barangan figura aksi dan mainan ini yang ditempah daripada pembekalnya di luar negara. Beliau menggunakan platform media sosial Facebook untuk memperkenalkan barangan tersebut kepada peminat tempatan.

Ala muzium mini

Mengendalikan kedai online selama enam tahun, memberikan Jacky keyakinan untuk membuka kedainya sendiri bagi memastikan penggemar dan pengumpul dapat melihat secara langsung dan jelas barangan diminati sebelum melakukan pembelian. Kedainya bukan sahaja menawarkan figura aksi malahan seperti muzium mini baginya mempamerkan koleksi sendiri dari zaman dahulu sehingga kini.

Kebanyakan pelanggan dan pengumpul di negara ini berusia dalam lingkungan 20an sehingga 50an dan ramai adalah peminat Transformers.

Namun masih ada sebilangan kecil peminat tersendiri figura seperti Kamen Riders, Ultraman, Soul of Chogokin, Power Rangers dan Star Wars Black Series. Jumlah komuniti figura aksi yang kecil di negara ini membolehkan mereka saling mengenali dan ada kalanya mengadakan pameran koleksi mainan serta figura aksi.

Pameran ini, jelasnya lagi, berskala kecil sahaja di mana pengumpul akan mempamerkan koleksi tersendiri berbanding pameran lebih besar di luar negara yang bukan sahaja mendapat sokongan peminat tegarnya, malah didukung pengedar dan pembuat figura aksi permainan tersebut. Beliau turut melahirkan harapan ia akan menjadi suatu realiti di sini suatu hari kelak.

Sebelum mengakhiri temu bual bersama wartawan, beliau menyatakan mengumpul figura aksi mempunyai erti dan kepuasan tersendiri kerana ia hobi unik dan dalam masa yang sama menyeronokkan. “Seorang pengumpul itu mungkin akan pada satu hari berhenti mengumpul tetapi tidak mustahil bagi mereka untuk kembali mengumpul kerana tarikannya adalah sungguh kuat,” ujarnya.