Penangguhan hukuman penjara ditolak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menolak permohonan penangguhan hukuman kerana tidak menemukan keadaan luar biasa untuk membenarkan rayuan penangguhan itu.

Pada November 2019, Mohamad Norariffin bin Hamdan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Perantaraan atas tiga pertuduhan mendera secara fizikal seorang remaja di bawah jagaannya. Dia membuat permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan namun ditolak oleh hakim.

Tertuduh memfailkan permohonan terhadap hukuman itu ke Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada tiga panel hakim antarabangsa. Walau bagaimanapun rayuan berkenaan telah ditangguhkan ke tarikh yang akan datang antara November 2020 dan April 2021 disebabkan keadaan COVID-19 pada masa ini.

Tertuduh melalui peguamnya, Rozaiman Abdul Rahman, kemudian membuat rayuan terhadap keputusan hakim yang tidak memberikan penangguhan pelaksanaan dan meminta dibebaskan dengan ikat jamin sehingga tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan didengarkan.

Rayuan itu didengar hari ini oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung, Hakim Haji Abdullah Soefri bin POKSMDSP Haji Abidin. Bagi pihak tertuduh, Rozaiman mengemukakan bahawa peluang rayuannya terhadap hukuman itu adalah tinggi. Rayuan turut menyatakan, disebabkan wabak COVID-19, terdapat kemungkinan tempoh bagi rayuan didengar mungkin lebih lama dari tempoh hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Abdul Latiff yang mewakili pihak pendakwa raya menyatakan bahawa walaupun sebahagian besar daripada hukuman dua tahun itu akan dijalani pada saat rayuan didengar, tidak ada kemungkinan keberhasilan bagi rayuan tersebut.

Hakim Haji Abdullah Soefri berpendapat bahawa tidak ada manfaat dalam permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut dan tidak ada keadaan yang luar biasa dalam kes tersebut yang memerlukan jaminan sementara menunggu rayuan, oleh itu, rayuan itu ditolak.