Penangguhan rentas sempadan dilanjutkan hingga 12 Disember

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 15 hari lagi dari 1 hingga 12 Disember.

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh JPM, di sini, hari ini, pelanjutan penangguhan kebenaran aktiviti rentas sempadan berkenaan adalah bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi negara kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kemasukan dan perjalanan transit melalui Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada, bagi tujuan atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan seperti ambulans, polis dan tentera serta vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei bagi penghantaran bekalan import yang penting.

Turut ditangguhkan adalah keluar dan masuk negara secara ulang alik melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

Siaran media menyatakan lagi bahawa syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa.

Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, boleh melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri, www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.