Tuesday, December 10, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penangguhan rentas sempadan, negara dilanjutkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Penangguhan kebenaran kemasukan warga asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam dilanjutkan lagi selama 14 hari bermula 1 hingga 15 Julai depan.

    Ini terkecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, pelanjutan penangguhan sementara itu adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga merujuk kepada siaran media JPM mengenai ‘Makluman Pelanjutan Penangguhan Sementara Kebenaran Aktiviti Rentas Sempadan dan Kebenaran Kemasukan dan Keluar Negeri Bagi Lima Buah Negara di Subbenua India’ yang dikeluarkan pada 15 Jun 2021.

    Kenyataan menjelaskan, kemasukan dan perjalanan transit melalui negara Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada.

    Ini adalah bagi tujuan urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan kecemasan seperti ambulans, polis dan tentera selain vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting.

    Lanjutan penangguhan berkenaan juga bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh runners berdaftar di Negara Brunei Darussalam, keluar dan masuk negeri secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat atau laut bagi tujuan pekerjaan.

    Sementara itu, pelanjutan penangguhan sementara kebenaran kemasukan dan keluar negeri bagi lima buah negara dari Subbenua India, iaitu Republik India, Republik Demokratik Persekutuan Nepal, Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka, Republik Islam Pakistan dan Republik Rakyat Bangladesh, juga dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula esok.

    Ini adalah bagi perjalanan masuk semua warga asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di subbenua India tersebut.

    Bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan ke Brunei dibolehkan untuk memasuki negara dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Turut ditangguhkan adalah perjalanan warga asing yang berlepas dari subbenua India dengan melalui Brunei secara transit dan perjalanan keluar dari Brunei menuju ke subbenua India atas apa jua sebab atau urusan. Sementara itu, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negara. Kebenaran berkenaan juga termasuk bagi warga asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang telah dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di negara ini dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap.

    Penangguhan kebenaran ini juga dikenakan bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Brunei dari subbenua India melalui penerbangan yang telah dibenarkan sebelum ini, maka kebenaran tersebut adalah ditarik balik.

    Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa.

    Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang JPM di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda